Hebatnya haiwan kecil yang dihantar untuk memusnahkan tentera Namrud ini

Dari Penulis

HAIWAN ini kecil saja, tapi amat menjengkelkan manusia. Siapa yang mahu berteman dengan makhluk penghisap darah ini. Mudah saja ia mati apabila ditepuk atau disembur dengan racun serangga.

Sebenarnya, makhluk kecil ini haiwan yang hebat. Metamorfosis kehidupannya sentiasa mengundang cabaran. Seekor nyamuk betina mampu mengeluarkan puluhan, bahkan ratusan telur dalam satu masa.

Cabaran pertama adalah untuk telur-telur ini bersatu dalam satu kelompok sampan yang terapung pada permukaan air supaya tidak tenggelam. Dalam masa seminggu, telur-telur itu akan menetas mengeluarkan larva yang kita panggil sebagai jentik-jentik.

Setelah keluar daripada telur, cabaran baru bermula lagi. Untuk bernafas di dalam air, haiwan kecil ini menggunakan tiub khas yang berada pada hujung badannya untuk menghirup udara agar ia boleh terus kekal di dalam air. Jika tidak cukup udara, ia akan mati.

Sirkulasinya berterusan, daripada jentik-jentik kemudian menjadi pupa sebelum akhirnya berkembang menjadi nyamuk dewasa. Apabila tiba masa untuk keluar daripada dalam air, ia juga satu cabaran sukar kerana tubuhnya yang basah akan menyukarkan usahanya untuk terbang.

Tetapi, ada keistimewaan yang diberi Tuhan untuk makhluk ini. Di hujung kakinya terdapat satu senyawaan kimia yang membantu meningkatkan tegangan pada permukaan air. Dan inilah yang membantu nyamuk keluar daripada kepompongnya lalu berdiri di atas permukaan air tanpa kakinya tenggelam.

Setelah berjaya terbang, cabaran hidupnya berterusan. Ia harus belajar untuk mengenali pembuluh darah manusia terutama dalam kepekatan malam agar mampu menghisap darah. Dan haiwan kecil ini dianugerahkan lagi keistimewaan dengan sistem inframerah yang membantunya untuk mengesan pembuluh darah hanya berdasarkan suhu tubuh manusia.

Sistem pengesan inframerah panasnya amat peka. Ia mampu mengesan pelbagai haba panas yang dipancarkan oleh benda-benda bernyawa di sekelilingnya. Kerana itu, ia mampu menemukan pembuluh darah walaupun pada waktu malam tanpa memerlukan daya penglihatan yang tinggi.

Nyamuk juga diberi kelebihan hingga ‘tiub’ yang lebih kecil daripada tubuhnya amat mudah untuk menembusi kulit manusia lantas menyedut darahnya. Organnya berfungsi bagaikan gergaji yang mampu menusuk masuk ke dalam pembuluh darah dengan mudah. Malah, darah yang dihisapnya juga tidak akan membeku kerana tubuhnya menghasilkan satu enzim yang mencegah pembekuan darah.

Begitu hebatnya keistimewaan yang diciptakan Allah terhadap makhluk kecil yang kita pandang lemah ini. Walaupun kecil, tetapi ia dilengkapi dengan kesempurnaan agar ia mampu mengharungi kehidupan. 

Malah, Allah telah membuktikan haiwan yang lemah ini mampu menjadi askar-askarNya. Dalam kisah Nabi Ibrahim telah diceritakan tentang tentera nyamuk yang dihantar bagi memusnahkan 700 ribu tentera berkuda raja Namrud.

Begitu ramainya tentera yang lengkap bersenjata ini, kesemuanya tewas di tangan tentera yang paling kecil dikirim Allah untuk membantu hambaNya. Raja Namrud yang ego itu juga tewas dalam siksaan seekor nyamuk yang masuk melalui hidungnya.

Raja Namrud yang bongkak akhirnya mati kerana seekor nyamuk. – Gambar Hiasan.

Firman Allah kepada Nabi Ibrahim a.s, – “Wahai Ibrahim, demi kemuliaan dan keagunganKU. Sekiranya engkau tidak meminta kepadaKu untuk mengutus tentera nyamuk, sudah tentu aku akan mengirim haiwan yang jauh lebih halus daripada nyamuk, yang jika seribu jumlahnya berkumpul menjadi satu, tidak akan mencapai besar nyamuk, tentu akan Aku musnahkan juga mereka itu dengannya.”

Begitu hebatnya tentera Allah yang kecil ini.

__________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This