SAINTIS memberi amaran penularan varian India atau kini dikenali sebagai varian Delta di Britain boleh menyebabkan negara tersebut mencatatkan kes penularan baharu mencecah sehingga 100,000 sehari bulan depan.
Atas dasar tersebut, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, membayangkan kemungkinan menunda tarikh penamatan perintah berkurung atau ‘lockdown’ susulan amaran pakar kesihatan kes harian COVID-19 boleh cecah 100,000 bulan depan.
Katanya, tarikh penamatan lokcdown yang sepatutnya jatuh pada 29 Jun ini terpaksa ditunda ke 19 Julai berikutan peningkatan jumlah mereka yang dirawat di hospital, yang kini mencapai tahap membimbangkan.
Minggu lepas, Britain mencatatkan kes penularan baharu sehingga 7,738 kes sehari selepas mencatatkan peningkatan sebanyak satu pertiga dari kes sebelum ini.
Kajian pendapat yang dijalankan syarikat penyelidik Opinium menunjukkan 54 peratus orang awam bersetuju menunda penamatan perintah berkurung manakala 37 peratus lagi menolak.
BERITA BERKAITAN Vaksin Pfizer, AstraZeneca bantu 96 peratus rakyat Britain miliki antibodi melawan Covid-19 selepas dos pertama
Sekitar 90 peratus jangkitan baharu di Britain adalah daripada varian Delta dengan jumlah kes meningkat dua kali ganda setiap sembilan hari.
Pakar virologi University College London, Profesor Deenan Pillay, berkata jumlah jangkitan yang tinggi akan meningkatkan risiko mutasi menjadi varian yang kebal terhadap vaksin.
“Sekiranya jumlah jangkitan terus meningkat, kemasukan ke hospital akan mencecah 2,000 sehari iaitu dua kali ganda berbanding jumlah biasa pada musim sejuk sebelum COVID-19,” katanya.
Ketua Persatuan Perubatan Britain, Dr. Chaand Nagpaul, berkata kesannya bukan hanya pada kadar kemasukan pesakit ke hospital tetapi juga terhadap kesan jangka panjang pada golongan muda.
varian Delta dari India 60 peratus lebih mudah berjangkit dan satu suntikan vaksin Pfizer atau AstraZeneca hanya memberikan perlindungan 33 peratus terhadap varian itu. – AGENSI
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

