ADA terkejut? Tiada apa yang hendak dikejutkan apabila pemimpin pembangkang dan pemimpin dalam kerajaan berjiwa pembangkang ‘menyerang’ Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dalam membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.
Sebaliknya reaksi mereka sememangnya sudah dijangkakan. Buatlah sebaik manapun, bentanglah sehebat manapun perancangan, percayalah tiada pujian apatah lagi sokongan yang akan diberikan.
Mereka hanya mahu meneruskan ‘kempen #kerajaangagal’ dengan menggunakan sentimen rakyat.
Sebelum ini kerajaan perpaduan, selepas itu kerajaan gagal, kemudian MAGERAN, sekarang timbul pula cadangan supaya Yang di-Pertuan Agong menubuhkan kerajaan interim bagi menguruskan pandemik Covid-19.
Pelbagai hujah dikemukakan bagi menyokong cadangan mereka, tetapi kalau diteliti boleh dikatakan kesemuanya sudah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Soal sistem kesihatan, soal vaksin, soal bantuan kepada rakyat dan soal ekonomi semua sudah dan sedang diuruskan.

Cuba ingat kembali apa yang Perdana Menteri umumkan pada 31 Mei lalu melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa +) ;
Ada tiga matlamat utama iaitu:
*Mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan. Kajilah infografik di atas untuk memahaminya.
Tetapi apa yang diperkatakan seolah-olah kerajaan tidak berbuat apa-apa. Lepas tu bercakap pula soal ketelusan dan negara memerlukan pemimpin yang boleh menguruskan krisis.
Paling seronok bab cadangan mewujudkan kerajaan interim yang mampu meraih kepercayaan rakyat dan majoriti parti politik. Soal siapa? Daripada parti mana? Bersatu, UMNO, PKR, Perjuang, Pas, DAP? Ditambah pula dengan cadangan ia diketuai oleh seseorang yang mempunyai nilai kepimimpinan serta berpengalaman dalam menguruskan krisis.
Ini bukan krisis dalam sebuah syarikat nak bankrap atau harus dilakukan penstrukturan semula? Ini sebuah negara yang sedang berhadapan dengan satu krisis yang tidak pernah dialaminya.
Ini krisis kesihatan yang mengugat keseluruhan kehidupan rakyat dan perjalanan negara ini, kita tidak pernah alami situasi ini. Fahamlah sikit, ni bukan krisis ekonomi atau kemelesetan ekonomi atau krisis kewangan…ini krisis diancam wabak yang satu dunia mengalaminya.
Oleh itu tidak payahlah mana-mana pihak nak tunjuk pandai seolah-olah kerajaan yang dipimpin tidak melakukan apa-apa.
Sedangkan kalau dilihat dari segi awal krisis lagi satu demi satu langkah dilakukan sehinggalah kepada pembentangan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan hari ini. Apa jaminan penubuhan kerajaan interim boleh menyelesaikan pandemik ini? Sebaliknya penulis percaya keadaan akan menjadi lebih buruk bukan soal pandemik itu sahaja malah ia merebak kepada isu bagaimana kerajaan interim itu hendak ditubuhkan.
Adakah semua parti politik akan bersetuju? Siapa individu yang akan diterima oleh semua parti? Penulis tidak perlu senaraikan nama mana-mana pemimpin, sebutlah siapa pun pasti ada yang akan menolak?
Justeru daripada dok buat cadangan entah apa-apa, lebih baik tumpu perhatian dan sama-sama menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri, tak kanlah kita hendak berpatah balik atau lebih tepat lagi ‘meruntuhkan’ semua yang sedang diusahakan oleh kerajaan?
Bila tubuh kerajaan interim dah pasti yang mengetuainya akan melakukan dengan cara sendiri, tak mungkin dia akan meneruskan apa yang dilakukan oleh kerajaan sedia ada. Jika itu terjadi tak pasal-pasal kita terpaksa berhadapan dengan krisis lain pula.
Perdana Menteri sudahpun membentangkan apa yang hendak dilakukan bagi memulihkan negara. Ia akan dilakukan secara berperingkat dan mengikut fasa, sabarlah sekejab.
Sebelum ini ahli politik juga dok memekak, kerajaan tak ada perancangan, bila dah buat perancangan cakap pula soal tak ada satu pun pengumuman mengenai bantuan kepada rakyat. Persoalkan kenapa tak sebut soal untuk menangani isu-isu yang berlegar sekitar sektor ekonomi dan Pendidikan.
Jika kerajaan nak layan semua kritikan seumpama itu, sampai ke bilapun tak boleh beri tumpuan membawa negara ini keluar daripada pandemik Covid-19.
Faktanya, semua perancangan sudah berada di tempatnya. Misi sekarang ialah melaksanakan pelan pemulihan dan pelan itu dirangka mengikut fakta, data dan angka. Tiga syarat utama ialah kes baharu turun, jumlah rakyat divaksin meningkat dan penggunaan katil di ICU menurun.
Sebab itulah penulis bertanya, adakah semua perancangan, program dan pelan yang dilakukan sekarang mahu dimusnahkan begitu sahaja? Ini waktu sukar yang kita harus bersabar dan bersama.
Bersabar untuk melalui empat fasa tersebut dan bersama menjayakannya, bukan terus mengkritik, mengecam dan mencadangkan perkara yang akan merosakkan perjalanan menuju terowong yang cahayanya sudah nampak.
Kenapa bila nampak cahaya itu mahu menuju pula ke ‘terowong MAGERAN’ atau ‘terowong Kerajaan Interim? Atau entah apa-apa terowong yang silap-silap di hujungnya cahaya terjun ke dalam gaung!
Tidak salah untuk bercita-cita membentuk kerajaaan baharu, tidak salah untuk mula menonjolkan diri sebagai calon Perdana Menteri, tetapi sekarang bukan masanya. Tunggulah pilihan raya. Tak lama pun, jika semua berjalan lancar Disember kita bebas daripada Covid-19.
Namun segala-galanya bergantung bagaimana kita semua memberi komitmen menjayakan Pelan Pemulihan Negara terutamanya faktor paling penting ialah memastikan kita mencapai imuniti kelompok. Bekalan vaksin sudah tiada masalah untuk diberikan kepada 80 peratus kelompok tersebut.
Daripada dok memerah otak nak cadang itu, nak cadang ini, lebih baik kerah tenaga supaya lebih ramai rakyat mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin. Turun ke kawasan sendiri, tengok berapa ramai yang daftar, berapa ramai tak hadir ke PPV. Cari jalan supaya lebih ramai mendaftar dan selesaikan masalah ketidakhadiran itu.
Kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah pandemik ini, kalau kita tidak mampu mengenepikan sentimen politik terhadap kerajaan. Jangan ingat kalau wabak ini berterusan, kes meningkat, ia tidak akan memberi keuntungan kepada sesiapa. Sebaliknya kalau itu berlaku kita sama-sama bertanggungjawab memusnahkan negara ini. Jangan biarkan itu terjadi!

