PERGERAKAN Pemuda UMNO Terengganu bersetuju jika parti membuat keputusan tegas sekiranya kerajaan masih gagal untuk membuka Parlimen dengan segera.
Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, pandangan ini seperti mana disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam yang mendesak Parlimen segera bersidang dalam tempoh 14 hari.
“Seterusnya kami ingin mencadangkan agar UMNO perlu segera keluar daripada kerajaan ini supaya tidak terpalit dengan politik derhaka raja seandainya pendirian kerajaan ini terus acuh tidak acuh merealisasikan titah raja dan tuntutan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tengku Haphiz, sebagai kerajaan yang mendukung tinggi prinsip demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaaan seharusnya memahami titah pandangan dan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu,
Katanya, ia sebagai panduan menyelesaikan kemelut rakyat kini, dan bukannya membuat tafsiran-tafsiran di luar konteks asal.
Menurut beliau, melewat-lewatkan titah ini dilaksanakan menggambarkan sebagai tindakan berpolitik yang menjurus kepada penderhakaan.
“Pemuda UMNO Terengganu percaya parlimen adalah platform rasmi untuk ahli2 Parlimen mewakili rakyat masing-masing berbahas mencari formula paling ampuh membantu percepatkan proses vaksinisasi dan program bantuan ekonomi rakyat di musim PKP ini,” jelasnya.
Baca artikel berkaitan: ‘Secepat mungkin’ indikasi Parlimen dibuka segera – Pemuda UMNO

Kata beliau, kerajaan juga sepatutnya lebih bersifat inklusif terutama di dalam menerima idea semua pihak dalam membantu saku rakyat yang jelas-jelas semakin berkurangan.
Sebagai contoh, ujar Tengku Haphiz, perlaksanaan I Sinar dan I Lestari 2.0 wajar dibuka kembali kepada rakyat ataupun setidak-tidaknya berilah peluang perbahasan di parlimen agar ruang cadangan membantu rakyat lebih bercambah.
“Sikap sambil lewa kerajaan pusat melayani Terengganu dalam peruntukan tambahan PKP 3.0 ni juga mengecewakan kami.
“Dalam rekod kenaikan harga minyak mentah dunia, purata 6 bulan tahun ini adalah bersandar pada harga $68.85 per tong maka seharusnya Terengganu memperolehi sedikit tambahan pendapatan sekurang2nya RM 600++ juta hasil royalti Petronas untuk Terengganu.
“Oleh yang demikian, sangat penting bagi kami agar parlimen bersidang segera untuk Ahli Ahli Parlimen Terengganu menyampaikan hasrat rakyat tempatan yang sangat memerlukan bantuan tunai terutama kelompok B40,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

