ANALISIS
MALANGNYA sekali ketika negara terus bergelut dengan pandemik Covid-19 dengan menteri-menteri daripada UMNO pun bertungkus lumus kepemimpinan UMNO di bawah teraju Presiden Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi terus melakukan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian dalam kerajaan.
Penulis faham segelintir pemimpin UMNO mahu memberi tekanan kepada kerajaan supaya mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Parlimen segera dan menganggap kegagalan berbuat demikian dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja.
Persoalannya apakah tempoh 14 hari yang diberikan itu berkisar soal ‘dianggap satu bentuk perderhakaan’ sahaja? Atau ada agenda lebih besar daripada itu yang mahu dilakukan oleh UMNO?
Apakah akan berlaku jika selepas 14 hari kerajaan tidak berbuat demikian? Kalau ikut kiraan tamat tempoh 14 hari itu adalah pada 4 Julai. Adakah UMNO akan bertindak keluar daripada Kerajaan Perikatan Nasional atas alasan tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan yang tidak menghormati institusi Raja-Raja?
Ia kerana seperti mana kenyataan beliau sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, satu mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya.
Kenapakah Ahmad Zahid tidak berterus terang dalam kenyataannya? Kenapa mahu berdolak-dalik sedangkan semua orang tahu ada kecenderungan kuat dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO yang mahu parti itu meninggalkan kerajaan?
Adakah benar Ahmad Zahid tidak berani menyatakan secara terus terang kerana tempoh 14 hari itu bukan dicapai dalam mana-mana mesyuarat termasuk dalam mesyuarat Biro Politik semalam? Betulkah?
Penulis hanya bertanya sebab khabarnya tempoh 14 hari itu dikatakan hanya ‘sekadar satu cadangan’ dalam perbincangan antara pemimpin UMNO malam tadi, bukannya ketetapan rasmi.
Khabarnya ramai pemimpin UMNO terkejut, bagaimana kenyataan seumpama itu boleh dikeluarkan sedangkan tiada keputusan rasmi dibuat oleh Biro Politik mahupun Majlis Tertinggi UMNO.
Mungkin atas faktor itu, kenyataan Ahmad Zahid tidak menyebut bagaimana keputusan 14 hari itu diputuskan, beliau hanya menyebut nama UMNO.
Tidak mengapalah Ahmad Zahid mahu menunjukkan ketegasan beliau sebagai Presiden, tetapi adakah beliau sudah memikirkan dengan mendalam kesan berikutan kenyataan tersebut?
Adakah beliau hanya mendengar pandangan seorang dua pemimpin yang dikatakan kini semakin mula mahu menonjolkan diri sehingga merimaskan pemimpin-pemimpin kanan UMNO lain?
Tidakkah beliau faham bahawa tindakan memberi tempoh seumpama itu hanya akan meletakkan arena politik negara dalam ketidakketentuan – satu perbuatan yang amat tidak wajar- dalam keadaan kita sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Sepatutnya Ahmad Zahid memberikan masa kepada kerajaan untuk mengatur sidang Parlimen itu selepas mendapat pandangan daripada Jawatankuasa khas yang dianggotai oleh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang seperti kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Tak salah Ahmad Zahid terikut-ikut dengan ‘tips janggal’ Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimana mudahnya mahu memanggil sidang itu sedangkan ia tidak semudah disangka.
Kalau begitu mudah, bukankan tips yang sama boleh digunakan Ahmad Zahid untuk memanggil sahaja mesyuarat MT dan buat keputusan keluar daripada Kerajaan PN? Kenapa mahu tunggu 14 hari baru nak iktiraf ‘derhaka ke tidak’ sebelum buat tindakan susulan?
Adakah ini kerana Ahmad Zahid sedar bahawa beliau tidak mempunyai kekuatan politik dalam UMNO untuk berbuat demikian termasuk dari segi sokongan dalam kalangan ahli Parlimen dan ahli MT?
Apapun kenyataan Ahmad Zahid tidak akan memberi apa-apa keuntungan politik kepada UMNO, sebaliknya bagi rakyat yang tidak mempunyai fahaman politik, walaupun mungkin ada antara mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan namun mereka akan menganggap UMNO hanya mahu terus berpolitik.
Tambahan pula ketika ini sudah tersebar pelbagai cerita mengenai usaha menubuhkan kerajaan baharu dan ada juga kisah rundingan jajaran baharu melibatkan pemimpin UMNO, sama ada betul atau tidak, kita akan bincangkan kemudian, tetapi yang pasti kenyataan terbaru Ahmad Zahid itu amat tidak wajar kerana sekarang bukannya masa untuk berpolitik.

