PADA 24 Mei perlanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) telah menggemparkan negara. Dalam kejadian malang itu 47 penumpang cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan.
Kesemua mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan. Sepanjang malam para petugas hospital itu bertungkus lumus merawat mangsa tanpa mengenal penat dan lelah.
Hari ini Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong merakamkan penghargaan kepada ‘hero-hero tak didendang ini’ selepas kesemua mangsa yang dirawat di HKL dibenar pulang dengan pesakit terakhir didiscaj semalam.
Dalam hantaran di akaun Facebook, Ka Siong mengucapkan jutaan terima kasih kepada ‘unsung heroes’ dari HKL di bawah Ketua Jabatan Neurosurgery Dr Azmi Alias kerana menyelamat dan merawat semua mangsa yang tercedera.
“Tiada perkataan atau ayat yang dapat saya lafazkan kecuali ‘terima kasih dan thank you’. Hanya Tuhan yang dapat membalas jasa anda semua. Semoga semua pesakit sembuh sepenuhnya secepat mungkin,” katanya.
Menurut Ka Siong semalam seorang pesakit wanita berusia 31 tahun menjadi pesakit terakhir dibenar pulang dan akan meneruskan rawatan rehabilitasi, pemeriksaan dan susulan yang diatur oleh pakar-pakar perubatan HKL.
Beliau berkata Khamis lepas, pesakit lelaki berusia 52 tahun yang juga cedera parah dalam insiden sama dibenar pulang dan kini mula menerima rawatan rehabilitasi selain rawatan susulan.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan otak yang agak parah dan mereka telah diselamatkan oleh pakar-pakar perubatan dan pembedahan HKL,” katanya.
Ka Siong berkata dalam perbualannya semalam bersama keluarga mangsa, mereka menzahirkan ucapan tidak terhingga kepada Dr Azmi yang mengetuai pasukan pakar HKL dalam menjalankan pembedahan otak ke atas dua pesakit itu.
Beliau turut menelefon keluarga kepada seorang lagi pesakit wanita berusia 26 tahun yang kini berehat di rumahnya di Parit Buntar, Perak dan kini dalam proses pemulihan.
Sementara seorang lagi pesakit wanita yang dipindahkan dari HKL ke sebuah Pusat Perubatan swasta di Damansara untuk pembedahan bahagian rahang kini berehat di rumah dan keadaannya beransur pulih serta menjalani sesi fisioterapi, katanya.
Dalam insiden 24 Mei lepas, sebuah tren LRT tanpa penumpang bertembung dengan sebuah tren yang membawa 213 penumpang dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan stesen LRT KLCC

