TIGA anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan meminta rasuah berjumlah RM15,000 daripada seorang individu sebagai balasan bagi melepaskan lelaki itu daripada kesalahan pemilikan dadah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah dalam kenyataan berkata pegawai polis lelaki berusia 33 tahun itu ditahan bersama dua lagi anggota polis lelaki berpangkat lans koperal masing-masing berusia 24 dan 30 tahun di Bandar Baharu antara 12.10 tengah malam hingga 2.30 pagi tadi.
“Semua suspek meminta suapan berupa wang sebanyak RM15,000 dan telah menerima wang sebanyak RM2,000 daripada seorang lelaki awam sebagai balasan melepaskan lelaki berkenaan daripada kesalahan berkaitan dengan pemilikan dadah,” katanya.
Ketiga-tiga suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani dan perintah reman selama lima hari bermula hari ini telah dikeluarkan ke atas mereka oleh Penolong Pendaftar Mohammad Alif Abdul Aziz.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Penjawat awam ditangkap curi lembu
DI JASIN, Polis menahan seorang penjawat awam dan rakannya warga Indonesia yang disyaki terlibat secara aktif dengan penjualan lembu curi bagi bekalan Hari Raya Aidiladha di sekitar daerah ini sejak April lepas.
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Mispani Hamdan berkata kedua-dua lelaki berusia 53 dan 42 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumah masing-masing di Kelubi kira-kira 4 petang semalam.
Beliau berkata tangkapan itu dibuat susulan aduan diterima daripada dua lelaki yang menyedari kehilangan sekor lembu ternakan masing-masing pada 16 April dan 28 Mei lepas di Kesang.
“Siasatan mendapati lembu-lembu terbabit dijual kepada seorang peraih di Krubong dengan harga RM2,700 dan RM1,400.
Dipercayai kedua-dua suspek turut menggunakan surat kebenaran asli daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pergerakan menjual lembu kepada peraih,” katanya lapor BERNAMA.
Mispani berkata siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan suspek warga asing itu ditahan reman 14 hari manakala seorang lagi dilepas dengan jaminan polis berikutan mempunyai masalah kesihatan.
Menurut beliau pihaknya juga masih meneruskan siasatan berhubung kes kecurian lembu susulan menerima satu lagi laporan semalam mengenai kehilangan tujuh ekor lembu di Kesang Pajak dengan anggaran kerugian RM15,000.
“Kita percaya terdapat rangkaian sindiket mencuri lembu di kawasan Kesang yang aktif ketika musim ibadah korban sempena perayaan Aidiladha,” katanya sambil menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

