S&P Global Ratings (S&P) telah mengekalkan penarafan terbitan jangka panjang Malaysia berdenominasi mata wang asing pada A- dan ringgit pada A, dengan prospek negatif.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengekalan penarafan ini membuktikan kekukuhan kedudukan sektor luaran negara, dasar monetari yang fleksibel serta keupayaan kerajaan untuk terus menyokong kemampanan pertumbuhan dan mengekalkan daya tahan ekonomi dalam persekitaran yang tidak menentu.

‘’Ini juga mencerminkan keyakinan S&P terhadap pentadbiran negara ketika dunia berhadapan dengan tindakan semakan semula penarafan luar jangkaan, di mana sekitar 20% daripada negara yang diberikan prospek negatif pada akhir 2020 telah disusuli dengan tindakan penurunan penarafan oleh tiga agensi penarafan utama setakat ini,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, prospek pertumbuhan global masih berada dalam keadaan yang tidak menentu meskipun hampir 18 bulan telah berlalu sejak pandemik Covid-19 melanda.

‘’Varian Covid-19 baharu telah menyebabkan kes jangkitan kembali meningkat sehingga mengakibatkan pelaksanaan semula langkah pembendungan serta penangguhan pembukaan sektor ekonomi dan sosial oleh kerajaan seluruh dunia. 

‘’Rantau Asia terutamanya telah berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti peningkatan mendadak kes jangkitan, jumlah kematian yang lebih tinggi dan akses kepada perolehan bekalan vaksin terhad, yang didominasi oleh negara maju. 

‘’Oleh yang demikian, pemulihan ekonomi dijangka berbeza bagi setiap negara dan sektor ekonomi berdasarkan tahap penularan pandemik dan sokongan fiskal negara tersebut,’’ katanya.

Dalam menangani cabaran ini, kata Tengku Zafrul,  Malaysia telah mengumumkan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) yang merangkumi empat fasa bagi membolehkan negara bebas daripada kemelut pandemik Covid-19. 

‘’Peralihan fasa PPN adalah berpandukan kepada purata kes harian baharu, tahap penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratus populasi yang divaksinasi sepenuhnya. 

‘’PPN membolehkan rakyat, perniagaan dan pelabur membuat perancangan sewajarnya apabila Malaysia beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya. Pelan ini memberi kepastian dan kejelasan khususnya kepada sektor ekonomi dan sosial yang akan dibenarkan beroperasi semula apabila nilai ambang tertentu dicapai,’’ katanya.

Menurut beliau,   S&P telah menyatakan bahawa sejak pelaksanaan fasa pertama pada 1 Jun 2021, penularan kes semakin terkawal dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, dan ekonomi Malaysia berkemungkinan besar pulih secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun 2021, hasil daripada strategi kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi secara beransur-ansur. 

‘’Sehingga kini, Malaysia berjaya mengurangkan purata kes harian baharu daripada 8,000 hingga sekitar 5,000 kes sehari dan mengekalkan nisbah kes kematian kurang dari 0.6% serta kadar penyembuhan lebih daripada 85%.

‘’Bagi memperkukuh prospek pertumbuhan, Kerajaan telah melaksanakan beberapa pakej rangsangan dan bantuan berjumlah RM380 bilion sejak bermulanya pandemik ini, serta Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion. 

‘’Di antara langkah-langkah di bawah Belanjawan 2021 dan pakej-pakej tersebut, sekurang-kurangnya RM300 bilion jumlah peruntukan bagi pelbagai inisiatif masih dalam pelaksanaan, dan ini akan menyokong pemulihan ekonomi terutama sepanjang fasa-fasa PPN,’’ katanya.

Tengku Zafrul turut memaklumkan, pemantauan rapi oleh Agensi Pelaksanaan Ekonomi & Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) menunjukkan bahawa sebanyak RM200 bilion telah disalurkan daripada pakej rangsangan dan bantuan ekonomi, memanfaatkan lebih 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan sejak Mac 2020. 

Dalam jangka sederhana, kata Menteri Kewangan itu, kerajaan kekal komited dalam melaksanakan pembaharuan struktur bagi meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi. Langkah ini termasuk pelaksanaan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan menjana peluang pekerjaan berkemahiran serta berpendapatan tinggi.

‘’Walaupun langkah pembendungan yang diumumkan baru-baru ini dijangka menjejaskan pertumbuhan, namun impak kepada ekonomi dijangka akan berkurangan seiring dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial berdasarkan peralihan fasa PPN, di samping penyesuaian pelbagai sektor perniagaan beroperasi secara digital. 

‘’Oleh yang demikian, impak keseluruhan terhadap ekonomi dijangka lebih terkawal berbanding semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada bulan Mac 2020,’’ katanya.

Beliau berkata, melangkah ke hadapan, momentum pemulihan pertumbuhan ekonomi PPN dipacu oleh keberkesanan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan pencapaian sasaran nilai ambang PPN untuk pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih meluas.

Sehingga kini, kata Tengku Zafrul,  Malaysia telah mencapai purata suntikan vaksinasi lebih daripada 160,000 dos sehari dan dijangka meningkat kepada 400,000 dos sehari pada bulan Ogos 2021. Pada kadar ini, sasaran vaksinasi penuh akan dicapai bagi 60% populasi menjelang akhir Oktober tahun ini.

‘’Di samping itu, faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi negara termasuk permintaan luaran yang lebih baik oleh rakan dagang utama, kepelbagaian sektor ekonomi dan pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi. 

‘’Khususnya, S&P mengakui bahawa sektor pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia yang maju terus berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan lonjakan permintaan global dan peningkatan teknologi baharu, seterusnya akan menyokong eksport bagi tempoh dua tahun akan datang,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, dasar Kerajaan dalam menggalakkan pendigitalan dan penggunaan teknologi juga akan membantu merangsang prospek dan daya tahan ekonomi jangka panjang. 

‘’Selain itu, Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021 – 2025) merupakan asas pelan tindakan pertumbuhan mampan untuk memperkukuh keterangkuman sosioekonomi serta kelestarian alam sekitar.

‘’Kerajaan kekal komited terhadap konsolidasi fiskal jangka sederhana dalam memastikan kemapanan fiskal negara. Dalam tempoh sedekad yang lalu, defisit fiskal telah berjaya dikurangkan daripada 6.7% (2009) daripada KDNK kepada 3.4% (2019),’’ katanya.

Tengku Zafrul berkata, berpandukan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana, defisit fiskal 6% yang disasarkan pada tahun ini diunjurkan berkurang kepada purata 4.5% pada tahun 2021 hingga 2023 dengan jangkaan harga minyak mentah yang lebih tinggi serta keperluan sokongan fiskal yang berkurangan seiring dengan pemulihan pandemik COVID-19. 

‘’Langkah ini juga akan disokong oleh pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana secara berperingkat bertujuan untuk meningkatkan dan mempelbagaikan asas hasil negara,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, kerajaan juga sedang menggubal Akta Tanggungjawab Fiskal dalam usaha menambah baik kehematan, tadbir urus dan ketelusan dasar fiskal berdasarkan amalan terbaik global.

‘’Kekuatan penarafan Malaysia diperkukuh oleh kedudukan kredit yang teguh, disokong oleh kedudukan luaran yang berdaya tahan dan pasaran bon domestik yang maju. Malaysia secara konsisten mencatat lebihan akaun semasa dalam tempoh dua dekad dengan lebihan dagangan terbesar sebanyak RM184.8 bilion atau 4.2% daripada KDNK pada tahun 2020,’’ katanya.

Beliau menegaskan, kedudukan ini turut disokong oleh rizab antarabangsa yang mencukupi, aset luaran bank dan korporat yang besar, serta kedudukan luaran mata wang asing bersih berjumlah RM1.1 trilion atau 77.0% daripada KDNK pada akhir Mac 2021. 

‘’Faktor ini mengukuhkan keupayaan Malaysia untuk membendung kejutan luaran, disokong oleh pentadbiran kadar tukaran asing berasaskan apungan. Kedudukan luaran Malaysia yang berdaya tahan diperkukuh oleh pasaran bon tempatan yang berkecairan tinggi dan mendalam, disertai oleh permintaan luaran yang memberangsangkan terhadap kertas terbitan kerajaan,’’ katanya.

Tambahan pula, kata Tengku Zafrul, pengekalan Malaysia dalam World Government Bond Index FTSE Russell membuktikan kemajuan pasaran modal negara serta asas makroekonomi yang kukuh dan berdaya tahan.

‘’Secara keseluruhan, keutamaan kerajaan buat masa ini adalah untuk melindungi nyawa rakyat dari ancaman Covid-19 dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara tetap kukuh dalam jangka masa sederhana hingga panjang, dengan berpandukan PPN dan prinsip pengurusan kewangan yang berhemah. 

‘’Peningkatan usaha langkah-langkah konsolidasi fiskal akan dilaksanakan secara berfasa dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang, apabila ekonomi menunjukkan lebih banyak tanda-tanda pemulihan. Ini akan mengimbangi keperluan fiskal jangka pendek dengan kelangsungan fiskal dan ekonomi jangka panjang. 

‘’Kerajaan akan terus bertindak secara strategik, proaktif dan tegas di dalam tempoh Covid-19 yang mencabar ini, bagi memastikan kesan berkekalan pandemik ini kepada ekonomi dapat dibendung,’’ katanya.