Kecantikan bukan hanya terletak pada muka, namun meliputi seluruh tubuh badan. Jangan hanya menjaga muka, namun abaikan penjagaan bahagian badan yang lain terutamanya kaki.
HF senaraikan antara tip penjagaan kaki yang korang wajib tahu.
Periksa seluruh kaki anda setiap hari dengan mencari atau merasai antara celah-celah jari kaki dan kawasan tumit. Pastikan sama ada terdapat luka, rasa sakit, melecet dan kalus (belulang).
Basuh kaki anda setiap hari dengan air suam (bukan air panas) dan sabun yang lembut. Jangan rendam kaki anda terlalu lama kerana ia akan menjadikan kulit kaki terlalu lembut dan rapuh; jangan gunakan sarung tangan yang kasar atau berus dan jangan membasuh kaki anda terlalu lama.
Potong kuku kaki. Potong dengan menggunakan pemotong kuku selepas membasuh dan menge- ringkan kaki anda. Potong kuku mengikut bentuk kuku dan jangan terlalu pendek. Ingat, jangan potong di bahagian sudut kuku. Ini boleh menyebabkan cekam atau kuku kaki tumbuh ke dalam kulit. Kemudian, kikis kuku kaki dengan pengikis kuku untuk meratakannya.
Jika kaki kering, anda boleh gunakan pelembap untuk mencegah keretakan. Bagaimanapun, jangan gunakan pelembap di antara jari kaki kerana ini boleh membawa jangkitan.

Alat-alat yang digunakan untuk rawatan kaki seperti pengikis untuk menghilangkan kalus, pisau cukur, gunting hujung tajam dan plaster kematu tidak boleh digunakan sama sekali bagi orang yang menghidap diabetes kerana peralatan ini dengan mudah boleh menyebabkan kecederaan atau merosakkan kulit. Gunakan batu lahar untuk menanggalkan kalus selepas membasuh kaki. Gosok batu tersebut dengan lembut di atas kalus pada satu arah sahaja. Teruskan melakukannya selama lima minit setiap hari sehingga kalus tersebut ditanggalkan.
Keringkan kaki anda sebaik mungkin menggunakan tuala lembut dengan menepuk secara perlahan, jangan gosok. Pastikan anda turut mengeringkan bahagian antara jari kaki kerana kulit yang lembap boleh membawa jangkitan. Anda juga boleh menggunakan bedak talkum pada kaki anda kerana ia boleh mengekalkan kekeringan kaki.
Lakukan senaman dan urutan kaki setiap hari untuk merangsang peredaran darah. Jangan pergi ke rumah urut untuk berurut kerana ia boleh mencederakan kaki anda.
Jangan biarkan kaki anda terdedah kepada suhu yang terlalu panas atau terlalu sejuk.

