SEBANYAK 25,711 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini telah mendapat pinjaman berjumlah RM12.14 bilion daripada bank-bank tempatan sehingga 11 Jun tahun ini.

Pinjaman yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tersebut termasuk termasuk dana Special Relief Facility (SRF), Automation & Digitalisation Facility (ADF), All-Economic Sector Facility (AES) dan Agrofood Facility (AF).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF.

Katanya, PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan https://imsme.com.my/portal/bm/ yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana.

Beliau berkata demikian dalam laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Stragei Nasional (Laksana) yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, bagi sektor pelancongan pula, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi PKS dan PKS mikro yang masih terkesan dengan penularan COVID-19.

“Setakat 11 Jun, terdapat 669 permohonan bagi pembiayaan ini, dan daripada jumlah ini sebanyak 331 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM65.9 juta,” katanya.

Selain itu, BNM juga mengumumkan, RM400 juta daripada dana asal RM1 bilion diperuntukkan semula bagi:
• Penubuhan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) untuk mengurangkan beban kewangan dan memulihkan operasi perniagaan PKS yang terjejas akibat banjir; dan
• Kemudahan Automasi Digital PKS (ADF) untuk memberi insentif kepada PKS untuk mengautomasikan proses dan mendigitalkan operasi untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Bagi menyokong perniagaan teknikal dan digital PKS, setakat 11 Jun, RM67.7 juta telah disalurkan kepada 13,870 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi.

Di sektor pertanian dan makanan, pembiayaan bernilai RM400 juta telah diperuntukkan bagi golongan petani, peladang dan nelayan.

Zafrul berkata, di bawah skim ini, RM350 juta merupakan peruntukan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.

Setakat 11 Jun, sebanyak RM161.46 juta telah disalurkan di bawah skim ini bagi memanfaatkan 13,229 PKS Mikro pertanian. Jaminan makanan (food security) amatlah dititikberatkan di dalam Pelan Penjana dan juga Belanjawan 2021.