PELAKON Aprena Manrose tidak pernah berhenti berharap agar dikurniakan zuriat memandangkan usia perkahwinannya dengan Mohd. Afiq Hazman kini telah memasuki tahun keempat.
Ujar Aprena atau nama penuhnya Wan Syahera Putri Aprena, 28, dia akui kini sedang menjalani rawatan perubatan di sebuah hospital sebagai usaha untuk memiliki cahaya mata.
“Memandangkan ketika kita berada dalam tempoh Pelaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP), saya dan suami rasa inilah waktu yang paling sesuai untuk kami buat rawatan.
“Sebab kalau saya sibuk di set penggambaran, memang tak akan ada masa untuk fikir fasal anak.
“Insya-Allah bila dah berhasil nanti, saya akan kongsikan kaedah dan jenis rawatan yang saya jalani kepada smua,” katanya kepada URTV.
Aprena ditemui ketika sidang media drama Hati Mu Sedingin Salju yang diadakan secara maya baru-baru ini.
Sementara itu, Aprena yang juga kakak kepada pelakon Oktovia Manrose ini tidak pernah berkecil hati walaupun sering kali dihujani dengan pertanyaan tentang anak.
“Sejujurnya saya tak rasa sensitif bila ditanya tentang anak sebab saya tahu orang akan terus bertanya memandangkan saya dah lama berkahwin.
“Bagi saya, soal anak itu semua ketentuan Allah yang mana kami sebagai wanita hanya mampu ikhtiar.
“Kadang-kadang tertekan juga tapi saya percaya Allah akan beri kami rezeki itu nanti,” tuturnya.
Aprena mendirikan rumah tangga dengan Afiq pada 12 November 2016.
Dalam perkembangan lain, Aprena bergandingan dengan pelakon Hisyam Hamid dan Hafreez Mikhail dalam drama Hatimu Sedingin Salju menerusi slot Akasia, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam di TV3.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

