PERSIDANGAN Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September.
Dalam kenyataan bersama Yang Dipertuan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertuan Dewan Negara Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid telah pun mengkaji dan meneliti aspek teknologi dan metodologi penjalanan persidangan hibrid dan telah mencadangkan untuk diadakan persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat secara hibrid.
‘’Secara umumnya, persidangan hibrid ini melibatkan kehadiran fizikal sekurang-kurangnya 26 Ahli Dewan Rakyat untuk menepati kehendak korum di Dewan Rakyat dan 10 Ahli Senator di Dewan Negara, yang selebihnya mempunyai pilihan sama ada untuk hadir secara fizikal tertakluk kepada apa-apa syarat mesyuarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ataupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada masa persidangan] ataupun maya,’’ kata mereka.
Azhar Azizan dan Dr. Rais menjelaskan, menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk diadakan persidangan secepat mungkin dan mengambil maklum komitmen dan kuasa Perdana Menteri selaku Ketua Majlis untuk menetapkan tarikh persidangan, Jawatankuasa Khas tersebut memberi komitmen untuk melakukan segala yang terdaya supaya kemudahan persidangan hibrid dapat disediakan seberapa segera mungkin.
‘’Namun, sedikit tempoh diperlukan untuk persidangan Parlimen secara hibrid ini dijayakan kerana beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan, bekalan serta latihan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan pelaksanaannya berjalan dengan lancar.
‘’Hal-hal persiapan ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri selaku Ketua Majlis semalam dan telah mendapat kerjasama serta galakan yang amat baik,’’ kata mereka.
*Cadang sidang khas Parlimen awal Ogos bincang perincian
Mereka memaklumkan, jawatankuasa khas tersebut menjangka bahawa semua aspek perundangan dapat diselesaikan pada akhir bulan Julai sekiranya perkara ini diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat.
‘’Dengan andaian itu, adalah dicadangkan agar satu Sidang Khas Parlimen diadakan pada awal bulan Ogos tertakluk kepada syarat-syarat ketat pencegahan penularan Covid-19 yang dikuatkuasakan MKN dan KKM.
‘’Sesi Sidang Khas ini penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen serta perkara-perkara teknikal yang berkaitan,’’ kata mereka.
Menurut Azhar dan Dr.Rais, jika cadangan ini diterima oleh kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen Malaysia untuk memperolehi bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia-ada, ujian (trial-run), pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan juga Ahli-ahli Parlimen.
‘’Mengambil kira perkara-perkara ini dan tertakluk kepada keperluan di atas, dijangka persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos ataupun selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.
‘’Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan mengambil inisiatif utama ini demi menjamin keutuhan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara sentiasa terpelihara dan beberapa perincian lain akan diumumkan kemudian setelah Jawatankuasa Teknikal selesai berurusan,’’ kata mereka.
Kedua-dua mereka juga menegaskan, Parlimen Malaysia ingin memaklumkan kesediaannya untuk bersidang pada bila-bila masa mengikut peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan juga Peraturan-peraturan Mesyuarat Majlis serta semua undang-undang negara yang terpakai pada masa ini.
‘’Mengambil kira keadaan semasa di mana penyebaran wabak Covid-19 masih di dalam peringkat pembendungan dan juga perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa masa kini, Parlimen Malaysia berpendapat bahawa langkah spesifik perlu diambil bagi mengelakkan penyebaran wabak Covid-19 secara meluas akibat daripada persidangan Parlimen.
‘’Menyedari hakikat ini, Parlimen Malaysia berhasrat untuk menyediakan kemudahan persidangan alternatif yang diharapkan dapat mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 ketika persidangan Parlimen diadakan kelak untuk pertimbangan kedua-dua Dewan,’’ kata mereka.

