Oleh : SYAFIQ Ir MOHD ZIN
Armada Bersatu berbesar hati dengan kenyataan dari beberapa menteri utama yang memberikan gambaran awal bahawa komitmen kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menambah baik pakej bantuan sedia ada dengan pakej rangsangan ekonomi tambahan.
Di samping tekal menyokong usaha kerajaan dalam membantu rakyat, Armada berpendapat Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini adalah ‘jalan keluar’ yang cukup baik dan wajar diberikan fokus serta keutamaan rentas politik sama ada daripada blok pemerintah ataupun pembangkang.

Armada ingin kembali mengulangi tekad dan saranan Ketua Armada Nasional, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal yang pernah mencadangkan agar Moratorium Pinjaman Automatik Tanpa Faedah ke atas semua jenis pinjaman menyeluruh.
Armada turut mencadangkan Moratorium Pinjaman Automatik diperluaskan merangkumi sektor Pinjaman Berlesen; Penjualan Secara Kredit meliputi penggunaan kad kredit, pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN, PTPTN dengan tidak mengenakan sebarang caj tambahan atau faedah; serta segala bentuk bayaran sewaan, lesen perniagaan dan lesen Pihak Berkuasa Tempatan bermula serta-merta sehingga 31 Disember 2021 atau sehingga ekonomi negara kembali pulih.
Armada percaya dengan pelaksanaan Moratorium Pinjaman Automatik Tanpa Faedah ini mampu menyuntik kembali semangat rakyat seluruhnya dalam mendepani pandemik Covid-19 dan menjayakan inisiatif kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara.
- Syafiq Ir. Mohd Zin adalah Pengerusi Biro Kewangan Armada Nasional. Artikel ini adalah kenyataan media beliau.

