MALAYSIA sememangnya dikenali sebagai sebuah negara majmuk yang kaya dengan pelbagai keistimewaan.
Tidak kira dari segi sejarah, budaya atau pun makanan, ramai yang ‘jatuh cinta’ dengan Malaysia.
Satu keistimewaan yang sering ‘dibanggakan’ sebagai rakyat Malaysia adalah keunikan dan pelbagai rasa raja segala buah, durian.

Walaupun berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, namun kehadiran musim durian tidak menghalang penggemar buah itu mencari dan menikmatinya.
Ini juga membuatkan peniaga durian cuba mencari kelainan demi melariskan perniagaan masing-masing.
Pemilik gerai durian Rizki, Romi Hidayat Zainintawa, 30, mempunyai cara tersendiri untuk menarik pelanggan ke gerainya yang terletak di Taman Medan, Petaling Jaya.

Menurut Romi, dia menawarkan durian percuma khas untuk ibu mengandung.
Apa yang menarik, durian ditawarkan Romi adalah jenis ‘Udang Merah’ yang diketahui bukan sahaja laris di pasaran tetapi juga harga agak tinggi.
“Saya sudah lima tahun berniaga durian. Setiap biji yang saya jual, saya memberi jaminan kepada pembeli, sekiranya durian itu isinya tidak elok atau rosak, saya akan gantikan dengan yang lain.

“Pada masa sama, saya juga ingin amalkan konsep bersedekah dalam perniagaan ini.
“Saya selalu mendapat permintaan durian daripada ibu-ibu mengandung. Atas dasar itulah rasa terpanggil untuk memberikan sebiji durian ‘Udang Merah’ secara percuma kerana saya faham kadang-kala ada di antara mereka yang mengidam untuk makan durian,” katanya kepada UtusanTV hari ini.

Mengulas mengenai perniagaan durian ketika ini, Romi memaklumkan masih menerima permintaan tinggi walaupun negara berada dalam PKP 3.0.
“Harga durian paling mahal yang saya jual adalah jenis Musang King Gred A yang boleh mencecah RM55 satu kilogram manakala paling murah pula durian kampung pada harga RM15 sekilogram.

“Ketika ini harga durian agak tinggi sedikit kerana kekurangan buah dengan pemborong pula sukar mendapatkan stok kerana belum musim durian sepenuhnya.
“Walaupun begitu, setakat ini saya boleh menjual sekitar tiga hingga lima tan durian sehari,” jelasnya lagi.
Gerai Durian Rizki menawarkan pelbagai jenis durian khas buah ‘hantu durian’ termasuk Musang King, Udang Merah, IOI, D24, kampung dan banyak lagi dengan semua stok diperolehi dari Johor serta Pahang.





