
Baru-baru ini kecoh apabila seorang Menteri dari Indonesia menuntut durian dijadikan buah nasional negara mereka, tidak lama selepas Durian Manufacturer Association (DMA) mewakili pengeluar durian tempatan mencadangkan durian sebagai buah kebangsaan di Malaysia.
Tidak menunggu lama untuk ‘jiran’ kita bersuara. Lantang membangkang cadangan itu. Alasannya? Durian sudah lama wujud dan menjadi sebahagian daripada warisan Indonesia. Tuntutannya dikuatkan dengan fakta bahawa pengeluaran durian di Indonesia jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.
Hmm… kalau ikut logik, durian memang wujud di banyak negara Asia Tenggara. Thailand ada, Vietnam ada, Filipina pun ada. Tapi, tak ada pula mereka sibuk nak claim durian sebagai kepunyaan mereka.
Bayangkan kalau Malaysia kata nak jadikan manggis, pulasan, harumanis, dabai atau belimbing hutan sebagai buah nasional. Pasti akan ada suara dari negara jiran yang bertegang urat berkata, “Itu buah kami juga!”
Entah kenapa, setiap kali kita ingin mengangkat sesuatu untuk menjadi identiti kebangsaan kita, pihak sana pasti akan menyanggah dan mengatakan itu adalah kepunyaan mereka.

Kita ada durian kita yang tersendiri. Dari D24, Musang King, Udang Merah, Black Thorn hingga durian XO, setiap satunya ada rasa, aroma dan tekstur yang unik. Tiada duanya di dunia.
Lebih membanggakan, baru-baru ini status petunjuk geografi (GI) bagi durian Musang King diperbaharui oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sehingga Mac 2034.
Bayangkan GI ini umpama cop pasport untuk Musang King yang membuktikan bahawa durian ini memang asli kepunyaan Malaysia. Dengan langkah ini, negara lain tidak boleh sesuka hati menuntut atau guna nama Musang King.
Durian bukan sekadar buah biasa. Ia sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia. Dari utara hingga selatan, setiap keluarga pasti ada kisah tersendiri berkaitan durian. Daripada kisah menunggu musim durian, beratur di gerai durian sehinggalah menikmati raja buah ini bersama-sama, durian ini secara tidak langsung menyatukan kita semua, tanpa mengira bangsa atau latar belakang.
Durian bukan sekadar buah. Ia simbol perpaduan, identiti dan kegembiraan rakyat Malaysia. Jadi, biarlah ‘mereka’ sibuk nak claim durian itu mereka yang punya. Tak perlu kita habiskan tenaga untuk menyanggah mereka. Kita tenang-tenang saja, tonton saja aksi ‘mereka’ yang tidak berpenghujung itu sambil menikmati durian.
Sekarang musim durian di utara. Jom ler kome kita makan deroyan!

