Moratorium enam bulan tiada faedah kompaun – Tengku Zafrul

Dari Penulis

KEMENTERIAN Kewangan menjelaskan kemudahan moratorium enam bulan yang akan ditawarkan kepada semua peminjam individu bukan bermaksud pinjaman dimaafkan. 

Namun, jelas Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ia tidak mempunyai faedah berkompaun, iaitu tidak dikenakan faedah ke atas faedah. 

‘’Hanya faedah terkumpul dikenakan seperti biasa apabila kita mula membuat bayaran selepas 6 bulan. Juga tidak dikenakan penalti dan tidak direkodkan dalam CCRIS bagi mereka yang memilih kemudahan moratorium,’’ katanya dalam laporan LAKSANA.

Beliau berkata, ada yang ingin membayar semula dengan kadar bayaran balik asal selepas tempoh moratorium selesai, ada juga yang ingin bayar dengan jumlah yang lebih rendah dan memanjangkan tempoh bayaran balik. 

‘’Bagi mereka yang memilih untuk melanjutkan tempoh bayaran pinjaman lebih lama dari tempoh asal, sudah tentu faedah yang perlu dibayar lebih tinggi tetapi perkara ini perlu dirunding dengan bank masing-masing. Mana-mana peminjam yang masih menghadapi kesukaran setelah berunding dengan bank mereka boleh menghubungi BNMTELELINK di bnm.my/RAsurvey,’’ katanya.

Mengenai hutang kad kredit, beliau berkata, ia masih perlu dibayar tetapi boleh ditukar kepada pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah. 

‘’Maksudnya masih berhutang tapi kosnya lebih rendah dan masa untuk membayar juga lebih Panjang,’’ katanya.

Tengku Zafrul berkata, pemberian moratorium ini merupakan langkah sementara sahaja, iaitu sebahagian daripada inisiatif Pelan Pemulihan Negara. 

‘’Ia perlu dilihat bersama dengan usaha kita untuk mempercepatkan peralihan ke fasa PKP seterusnya. Lagi cepat kita beralih fasa, lagi cepat pelbagai sektor boleh beroperasi, maka lagi cepat pemulihan ekonomi kita,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, moratorium itu ditawarkan kepada semua peminjam individu (merangkumi B40, M40 atau T20) dan usahawan mikro, tanpa dikenakan syarat seperti pengurangan pendapatan atau hilang pekerjaan. 

‘’Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan dan peminjam hanya perlu menandatangani perjanjian pindaan syarat- syarat pinjaman yang berkaitan. Pakej moratorium ini dianggarkan akan membawa kelegaan sehingga RM80 bilion kepada peminjam individu dan perniagaan,’’ katanya.

Tengku Zafrul berkata, ini merupakan kali kedua Malaysia memperkenalkan moratorium pinjaman secara menyeluruh selepas kali pertama diperkenalkan pada Mac tahun lepas. 

‘’Tiada negara lain di dunia yang memberikan moratorium menyeluruh seperti ini, malah kebanyakannya hanya menyediakan bantuan pinjaman secara bersasar dan terhad,’’ katanya.

Mengenai elaun barisan hadapan, beliau berkata, setakat 18 Jun, sebanyak RM791.27 juta telah disalurkan berdasarkan 2,212,088 tuntutan daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak Covid-19. 

‘’Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),’’ katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Landskap politik berubah jika Onn Hafiz bawa BN menang PRN Johor – Hassan Karim

LANDSKAP politik negara disifatkan bakal berubah sekiranya Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya membawa Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya...

More Articles Like This