ADA orang berkata, jika kita hendak mengetahui keadaan sesuatu negara itu, lihatlah lapangan terbangnya. Kalau lapangan terbang tersebut teratur, efisien dan memberi keselesaan kepada penumpang, sudah pasti negara itu adalah baik.
Tetapi jika pengurusan lapangan terbang itu kelam kabut dan ada masalah, ia sekaligus akan mencemarkan imej negara berkenaan.
Dalam suasana dunia dilanda pandemik Covid-19, semua lapangan terbang termasuklah di Malaysia khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 berhadapan dengan cabaran untuk memastikan penumpang sama ada yang masuk atau keluar tidak membawa virus itu bersama.
Justeru imbasan atau ujian Covid-19 di lapangan terbang memainkan peranan cukup penting.
Beberapa hari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh memaklumkan, mulai semalam (1 Julai), KLIA menyediakan pemeriksaan Covid-19 yang dianggap beliau sebagai selamat, cepat dan selesa.
Beliau berkata, MAHB melantik BP Clinical Lab untuk menyediakan perkhidmatan dan kemudahan tersebut di KLIA dan KLIA2 selepas melalui proses tender terbuka yang ketat. Tender itu adalah untuk pemeriksaan penumpang tiba (ketibaan) sahaja.
Kalau mengikut apa yang dimaklumkan oleh Mohd Shukrie, syarikat itu mempunyai pengalaman lebih daripada 38 tahun dalam industri penjagaan kesihatan dan mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam memberikan perkhidmatan kepada banyak agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Perkeso.
Sehingga kini, BP Clinical Lab telah menjalankan ujian Covid-19 lebih daripada 3.5 juta.
Kalau mengikut kepada ’track record’ ini, pemilihan BP Clinical Lab dilihat tepat bagaimanapun tidak bermakna ia mampu menghentikan cakap-cakap dan persoalan yang bermain di fikiran pemain industri mengenai kemampuan BP Clinical Lab untuk menguruskan pemeriksaan Covid-19 di KLIA.
Ia kerana KLIA mengendalikan jumlah penumpang yang cukup besar dalam satu-satu masa. Kalau mengikut apa dikatakan oleh Mohd Shukrie, terdapat sekitar 40,000 penumpang setiap hari yang merangkumi kedua-dua lapangan terbang iaitu KLIA dan KLIA2.
Soalnya mampukah MAHB memastikan BP Clinical Lab itu melaksanakan tanggungjawab dengan ‘cepat dan selesa’? Kenapakah jumlah kehadiran sebanyak itu dan mungkin akan bertambah sekali ganda selepas pandemik berakhir, tidak dibahagikan juga kepada syarikat-syarikat lain dalam usaha memastikan pemeriksaan Covid-19 di KLIA dan KLIA2 lebih selamat, cepat dan selesa?
Selain itu ia juga sekaligus mengelakkan timbulnya tafsiran dengan menguasai tender di KLIA dan KLIA2, syarikat tersebut kini memonopoli pemeriksaan Covid-19 ke atas penumpang yang tiba di Malaysia.
Walaupun terdapat lima lagi lapangan terbang bertaraf antarabangsa di negara ini iaitu Pulau Pinang, Langkawi, Kota Kinabalu, Subang dan Kuching, namun jumlah ketibaan penumpang adalah kecil.
Untuk rekod, pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19, jumlah penumpang yang tiba di KLIA ialah dianggarkan 60 juta setahun.

Kalau mengikut anggaran kasarnya 30 juta penumpang masuk dan 30 juta penumpang keluar. KLIA 1 dan KLIA2 dikatakan menguasai 70 peratus daripadanya, ia bermakna jika angka ketibaan kekal sekitar 30 juta orang, ia bererti BP Clinical Lab akan mengendalikan pemeriksaan ke atas sekitar 20 juta penumpang.
Untuk ujian atau pemeriksaan Covid-19 yang melibatkan RTK dan RT-PCR, rakyat Malaysia akan dikenakan bayaran antara RM60 hingga RM250 manakala warga asing antara RM90 hingga RM350. Bagaimanapun penumpang dalam kategori B40, penjawat awam, orang kurang upaya dan pelajar boleh terus menggunakan perkhidmatan yang diberikan oleh KKM.
Pemain-pemain industri tidak mempersoalkan kenapakah BP Clinical Lab dipilih tetapi mereka memperkatakan soal kemampuan memandangkan ia melibatkan KLIA yang menjadi pintu masuk negara dengan jumlah penumpang cukup ramai.
Apabila menyentuh soal kemampuan, ia juga berkaitan dengan test kits yang digunakan bagi memastikan keputusan Covid-19 adalah tepat.
Ia memandangkan sebarang ketidaktepatan dalam keputusan pemeriksaan atau ujian yang dilakukan, sudah pasti ia boleh mengundang bahaya kepada negara. Adakah MAHB benar-benar yakin test kits yang akan digunapakai di KLIA itu benar-benar berkesan dan sudah teruji di mana-mana lapangan terbang sebelum ini? Atau syarikat itu sudah menggunakannya di mana-mana lapangan terbang lain?
Contohnya, jika test kits tersebut dari China. Test Kits ini didakwa telah banyak menimbulkan masalah apabila ada ujian negatif dikatakan positif dan begitulah sebaliknya. Kalau keadaan itu berlaku ia sudah tentu mendedahkan negara kepada penularan Covid-19.
Lebih malang lagi, akibat ketidaktepatan test kits tersebut, Malaysia mungkin boleh terjebak ke dalam senario menjadi ‘pengimport dan pengeksport’ Covid-19.
Justeru adalah menjadi tanggungjawab MAHB untuk memastikan test kits yang digunakan benar-benar berkesan. Test Kit dari China memang murah dan boleh memberi keuntungan besar kepada syarikat yang menggunakannya, tetapi adakah ia baik bagi mengendalikan satu pemeriksaan berskala besar seperti KLIA?
Turut menjadi perhatian Mohd Shukrie menyatakan akan terdapat 40,000 penumpang setiap hari, kalau begitu jumlahnya ada yang bertanya kenapakah hanya BP Clinical Lab sahaja dipilih? Kenapa ia tidak dibahagikan kepada syarikat-syarikat lain juga.
Beliau juga memaklumkan terdapat lapan lokasi untuk kemudahan pemeriksaan Covid-19, lima di Terminal Utama KLIA dan tiga di terminal KLIA2 yang dilengkapi dengan ruang rehat dan tempat duduk yang selesa untuk penumpang sementara mereka menunggu keputusan ujian.
Kenapa kesemuanya harus dikendalikan oleh BP Clinical Lab, bukankah lebih wajar jika ia dibahagi-bahagikan kepada syarikat-syarikat lain? Apakah syarikat tersebut benar-benar berupaya atau dianggap cukup bagus bagi mengendalikan ujian berskala besar itu bersendirian? Kalau tengok kepada ‘track record’ yang dikatakan oleh Mohd Shukrie, MAHB yakin mereka boleh melakukannya.
Cuma dengan melibatkan lebih banyak syarikat dan ada antara mereka mempunyai kaedah pemeriksaan yang mungkin lebih efisien, ia boleh mengelakkan penumpang menunggu lebih lama memandangkan tempoh menunggu sehingga 3 jam bukanlah satu masa yang pendek.
Ia boleh mengakibatkan kesesakan berlaku di lounge-lounge yang disediakan di KLIA sedangkan kalau dibahagi-bahagikan kepada syarikat lain ada antara mereka dikatakan boleh melakukan dalam tempoh tidak sampai sejam pun.
Apa pula jaminan tidak berlaku penularan Covid-19, kalau ada penumpang yang positif tetapi terpaksa menunggu lama bagi mengetahui hasil ujiannya? Semua ini harus dielakkan.
Perlu difahami seperti mana kata-kata pemain industri, ujian atau pemeriksaan Covid-19 di KLIA bukanlah seperti mana pihak berkuasa mahu melakukan swab test terhadap pekerja asing di tapak binaan.
Ujian di KLIA perlu dilakukan secara berhati-hati dan perlu memenuhi standard antarabangsa. Kita tidak mahu sebarang kelemahan pemeriksaan di KLIA akan menyebabkan wujud pula ‘kluster airport’ kerana ia akan menjejaskan imej negara.
Seperkara lagi, pemain-pemain industri juga tertanya-tanya apakah selepas KLIA dan KLIA2, BP Clinical Lab akan turut diberikan kelulusan untuk mengendalikan pemeriksaan ke atas penumpang yang akan berlepas pula? Atau adakah lima lagi lapangan terbang bertaraf antarabangsa akan turut dikendalikan oleh syarikat itu?
Banyak lagi syarikat lain boleh berbuat demikian termasuklah yang dimiliki oleh kerajaan seperti Pantai dan KPJ atau syarikat-syarikat yang turut menyertai tender bersama BP Clinical Lab pada Mac lalu.
Lagi pula, Mohd Shukrie sudah membentangkan ‘rekod hebat’ syarikat itu yang telah memberi perkhidmatan kepada banyak agensi kerajaan seperti KKM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan kini mereka juga sudah diberikan kepercayaan mengendalikan pemeriksaan Covid-19 di KLIA,KLIA2.
Ada juga bertanya berapa banyak makmal (lab) yang syarikat itu miliki memandangkan kalau sudah KKM, Perkeso dan KLIA mereka kuasai, apakah mereka berkemampuan untuk melakukan tugasan yang sama di industri-industri lain?
Sama ada mereka akan berjaya atau tidak, masa akan menentukan untuk syarikat itu membuktikan keupayaannya tetapi kita tidak boleh menafikan hak sesiapa untuk memperkatakan soal kemampuan memandangkan tanggungjawab di KLIA bukanlah soal kecil.
Apa yang diharapkan MAHB sudah membuat keputusan yang tepat dan tiada masalah yang akan berlaku walaupun kita tidak pasti adakah MAHB sudah melihat contoh pengendalian pemeriksaan Covid-19 di lapangan terbang besar lain seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Heathrow di London, Incheon di Korea, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX) dan beberapa lagi sebelum membuat keputusan siapa paling layak mengendalikan pemeriksaan Covid-19 di KLIA.
Ia memandangkan jika aktiviti pemeriksaan Covid-19 tidak dilakukan dengan cara yang sempurna dan teliti di KLIA, tidak mustahil ia boleh menyebabkan Malaysia menjadi pengeksport pandemik tersebut, mungkin juga pengimport.
Semoga itu tidak berlaku dan pihak terlibat memahami tanggungjawab cukup besar di bahu mereka dalam menjaga imej negara.

