JUMLAH pemberian vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berada pada landasan tepat bagi mencapai hasrat imuniti kelompok.
Malah, buat hari keempat berturut-turut, pemberian vaksin harian kekal melebihi 200,000 dos di seluruh negara.
Berdasarkan data dikongsi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, sebanyak 236,196 dos telah diberikan secara harian sehingga tengah malam semalam.
Kadar tersebut merangkumi 167,059 dos pertama dan baki 69,137 bagi suntikan kedua.
Secara keseluruhan, pemberian dos vaksin sejak PICK dilaksanakan penghujung Februari lalu telah pun mencecah 8.583 juta.
Menurut Dr. Adham, ia melibatkan pemberian dos pertama kepada 6.119 juta individu seluruh negara atau pun 18.7 peratus daripada populasi.

Kata beliau, jumlah individu yang telah melengkapkan suntikan penuh vaksin COVID-19 pula telah mencecah hampir 2.5 juta.
Jumlah hampir 2.5 juta itu atau lebih tepat 2.463 juta itu adalah bersamaan dengan 7.5 peratus daripada populasi.
Baca artikel berkaitan: 8.34 juta dos sudah diberikan, 263,012 lagi semalam
Ia sekali gus berada dalam landasan untuk mencecah 10 peratus populasi divaksinasi penuh menjelang pertengahan bulan ini sebagai satu daripada sasaran nilai ambang peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagi pemberian dua dos vaksin, Dr. Adham memaklumkan, Selangor kekal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 333,432 dos atau 5.1 peratus daripada populasi negeri itu.
Beliau berkata, ia diikuti Sarawak yang merekodkan 257,408 individu (9.1 peratus populasi); Johor 258,636(6.8 peratus populasi); Kuala Lumpur 221,020 (12.5 peratus populasi) dan Perak 219,044 (8.7 peratus populasi).
Katanya, Sabah menjadi penerima keenam tertinggi yang telah sempurna dua dos vaksin iaitu sebanyak 215,318 seterusnya Kedah (186,690); Pahang (141,671) dan Kelantan (141,747).

“Di Pulau Pinang pula sebanyak 134,494 dos kedua pemberian vaksin telah diagihkan diikuti 101,934 di Negeri Sembilan; 90,281 di Terengganu dan 72,684 di Melaka.
“Sebanyak 42,588 dos kedua vaksin telah diberi di Perlis dan masing-masing sebanyak 28,351 dan 16,721 di Putrajaya serta Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Sarawak menjadi negeri penerima dos pertama vaksin COVID-19 tertinggi iaitu seramai 1.152 juta individu atau 40.9 peratus daripada populasi.
Setakat ini Sarawak menjadi negeri penerima tertinggi vaksin yang telah diberikan iaitu melibatkan seramai 1.409 juta dos.
Beliau memaklumkan ia diikuti seramai 1.094 juta di Kuala Lumpur, 1.032 juta di Selangor; 464,586 di Johor dan 385,114 di Sabah bagi dos pertama vaksin telah diberi.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

