MAJLIS keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan semua jenis barang dagangan di kedai runcit, kedai serbaneka, pasaraya serta pasar mini boleh dijual kepada pelanggan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan terdapat kekeliruan dalam kalangan pemilik premis yang menutup sebahagian seksyen barangan di premis perniagaan mereka dan tidak dijual kepada pelanggan.
Masyarakat menjadi keliru sebelum ini apabila sebahagian besar pasar raya menutup sesetengah bahagian yang di dalam kategori ‘bukan barangan perlu’ seperti ruangan alat tulis, barangan dapur, barangan elektrik dan sebagainya.
Selain itu, Ismai Sabri berkata, waktu operasi premis makanan bagi fasa satu dan dua kekal bermula 6 pagi sehingga 10 malam seperti diumumkan sebelum ini.
Menurutnya, hanya premis makanan di semua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk di mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur sahaja yang beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.
BERITA BERKAITAN Jangan panik, pasar raya, kedai runcit tak tutup pun
“Selain itu, kerajaan membenarkan penduduk di kawasan PKPD keluar bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin.
“Namun, bagi mereka yang ingin pulang ke kampung untuk membawa ahli keluarga bagi mendapatkan suntikan vaksin sama ada di luar daerah atau negeri dibenarkan dengan menunjukkan janji temu MySejahtera dan mendapatkan kebenaran daripada polis.
“Bagi tujuan pergerakan mendapatkan vaksin, maksimum tiga orang dibenarkan termasuk pemandu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga mempertingkatkan penguat kuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan.
Katanya, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melaksanakan 88,875 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 20,065 orang, semalam.
“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,566 kilang, 16,270 premis perniagaan, 600 tapak pembinaan dan 241 asrama penempatan pekerja.
“Sebanyak enam kilang dan 12 premis perniagaan diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

