MAJLIS Tertinggi (MT) UMNO malam ini dijangka membincangkan pendirian ahli-ahli Parlimen parti itu bahawa mereka tidak akan meletakkan jawatan dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan, walaupun terpaksa berhadapan risiko dipecat daripada parti.

Pendirian itu telah ditegaskan dalam pertemuan dengan Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi kelmarin dan Presiden UMNO itu bersetuju dengan ketetapan itu serta berjanji akan membawa ke  mesyuarat MT malam ini.

Persoalannya apakah pendirian ahli-ahli MT? Apakah mereka akan bersetuju dengan pendirian ahli-ahli Parlimen tersebut? Adakah mereka berani untuk membuat keputusan memecat ahli-ahli Parlimen yang ingkar? 

Adakah mereka akan membuat pendirian UMNO bersedia kekal bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) asalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi menjadi Perdana Menteri? Atau adakah mereka akan menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dan beberapa jawatan penting lain dalam Kabinet seperti Kewangan dan Ekonomi?

Hakikatnya, ahli-ahli MT perlu membuat keputusan tepat memandangkan apapun keputusan yang mereka buat pasti akan memberi kesan kepada perpaduan dalam parti, pentadbiran di tiga negeri dan pengurusan pandemik Covid-19 di peringkat pusat .

‘’Ahmad Zahid sudah janji bawa kepada MT maknanya beliau mahu MT buat keputusan, jadi MT kena hati-hati sebab  mereka akan bertanggungjawab bukan Ahmad Zahid,’’ kata sumber kepada UtusanTV.

*Pengurusan pandemik akan jadi huru hara

Sumber itu bimbang jika MT UMNO membuat keputusan supaya parti itu menarik sokongan daripada Kerajaan PN, ia akan menyebabkan negara menjadi huru-hara terutamanya dalam soal pengurusan pandemik Covid-19.

‘’Rakyat akan marah kepada UMNO kerana mereka tengah susah dan UMNO terus mahu berpolitik, tambahan pula ada empat menteri daripada parti itu terlibat secara langsung menguruskan urusan menangani penularan Covid-19.

‘’Apa akan jadi jika UMNO tarik diri daripada kerajaan? Dah pasti keadaan menjadi kelam kabut dalam pengurusan mengendalikan wabak tersebut, kalau itu berlaku yang nampak buruk bukan Presiden UMNO tetapi ahli-ahli MT,’’ kata sumber itu lagi.

Sumber tersebut berkata, rakyat juga pasti akan menyalahkan UMNO kerana terus mahu berpolitik ketika mereka sedang susah.

‘’Rakyat sudah letih dengan Covid-19 ini, mereka mahu segera keluar daripada ancaman wabak tersebut tetapi tiba-tiba UMNO buat tindakan yang mengganggu gugat segala usaha yang dilakukan, sudah pasti mereka akan marah UMNO,’’ kata sumber itu.

*Tiga negeri akan tumbang

Selain itu sumber itu juga menasihatkan, ahli-ahli MT supaya berfikir dengan semasak-masak sebelum membuat keputusan untuk keluar daripada kerajaan kerana ia bukan sahaja melibatkan pergolakan politik di peringkat pusat tetapi juga akan menyebabkan tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Perak di bawah Kerajaan PN akan tumbang.

‘’Kena ingat siapa Menteri Besar dan Ketua Menteri di ketiga-tiga negeri itu? Bukankah ia dipegang oleh UMNO? UMNO kalah di ketiga-tiga negeri itu tetapi akhirnya diberi peluang menduduki jawatan tersebut, sekarang nak tarik sokongan pulak.

‘’Tak kan UMNO nak bagi syarat penarikan diri daripada kerajaan hanya melibatkan peringkat pusat sahaja manakala status kerjasama  di peringkat negeri kekal, politik macam mana tu,’’ soal sumber berkenaan.

*Boleh hilang ahli Parlimen, UMNO berantakan

Sumber itu seterusnya bertanya, apakah akan dilakukan oleh ahli-ahli MT jika ahli-ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan mempertahankan keputusan mereka seperti mana yang dimaklumkan kepada Ahmad Zahid?

‘’Adakah UMNO akan memecat mereka? Kalau begitu adakah UMNO bersedia kehilangan banyak kerusi di Dewan Rakyat dan UMNO berantakan kerana ahli-ahli Parlimen itu mempunyai penyokog sendiri.

BACA JUGA : Kekal bersama kerajaan PN, Ahli Parlimen UMNO sedia dipecat!

‘’Kenapa mahu menghancurkan UMNO hanya kerana ahli-ahli Parlimen tersebut mahu berkhidmat sehingga Parlimen dibubarkan dan mereka tidak mahu meninggalkan tanggungjawab ketika rakyat sedang susah serta negara berhadapan pandemik Covid-19”,’’ kata sumber itu.

*Boleh tuntut jawatan TPM tapi hak PM tentukan

Menjawab satu soalan, sumber itu bersetuju jika Muhyiddin mempertimbangkan jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada UMNO bagi meredakan ketegangan hubungan yang berlaku.

‘’Tetapi perlu diingat itu prerogatif Perdana Menteri sama ada beliau mahu melantik atau tidak Timbalan Perdana Menteri, UMNO hanya boleh mencadangkan atau menuntut tetapi tidak harus mendesak,’’ katanya.

Sehubungan itu, sumber tersebut menasihatkan, ahli-ahli MT supaya menghormati pendirian ahli-ahli Parlimen UMNO untuk parti itu kekal dalam kerajaan sehingga pembubaran Parlimen.

‘’Saya berpendapat itu langkah terbaik bagi mengelakkan negara huru hara dan kestabilan politik tergugat sehingga menyusahkan rakyat yang sememangnya  sudah susah akibat pandemik Covid-19.

‘’Sekarang bukan masa yang sesuai itu untuk kita berpolitik apatah lagi mencetuskan kekecohan politik, jadi saya berharap ahli-ahli MT akan melihat semua faktor sebelum membuat keputusan.

“ Tetapi yang pasti jika mereka memutuskan UMNO menarik diri daripada kerajaan, kesannya amat buruk bukan sahaja kepada parti tetapi paling rakyat dan negara, akhirnya MT UMNO akan dipersalahkan,’’ kata sumber itu.