KEPUTUSAN Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi yang memutuskan untuk menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, boleh dianggap satu pendirian yang bercelaru dan pelik.

Ia memandangkan dalam kenyataan media beliau, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang ‘bersyarah’ panjang lebar dengan membentangkan tujuh perkara yang disifatkan kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya menyebut ‘’maka tempoh memberi sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan’.

Apa yang lebih keliru lagi, Ahmad Zahid tidak menyatakan secara terbuka bahawa UMNO kekal dalam Kerajaan PN sebaliknya mahu Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

Maksudnya tersiratnya ialah ‘’kami masih kekal dalam Kerajaan PN tetapi kami tak mahu Muhyiddin’.

Persoalannya, wajarkah seorang Perdana Menteri diminta berundur begitu sahaja tanpa dibuktikan beliau kehilangan sokongan atau tidak, tetapi hanya berdasarkan kepada tujuh perkara yang didakwa kegagalan kerajaan?

Bagaimana pula pendirian UMNO itu dibuat, apakah ia melalui pengundian dalam mesyuarat MT malam tadi atau ia berdasarkan kepada pertemuan bersemuka seorang demi seorang ahli MT baru-baru ini?

Penulis mengemukakan persoalan ini kerana ada sumber memaklumkan tiada pengundian dijalankan dan hanya ‘orang Presiden’ sahaja dibenarkan bercakap, betulkah?

Tetapi tidak mengapalah kalau UMNO merasakan itu cara demokratik untuk membuat keputusan atau menetapkan pendirian, namun adakah ia akan memberi kesan? Adakah Muhyiddin akan tunduk kepada keputusan yang penulis anggap tidak ubah seperti mana kenyataan-kenyataan politik yang mahu orang itu, orang ini meletakkan jawatan? Bak kata seorang pemerhati politik, ‘’tak ada kesan apa pun, Muhyiddin boleh buat dek aje’’.

Penulis percaya UMNO terpaksa membuat pendirian yang bercelaru ini kerana berhadapan dengan tentangan ahli-ahli Parlimennya dan juga BN yang memutuskan terus kekal dalam Kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

Ahmad Zahid dan MT UMNO tahu, kalau mereka membuat keputusan menarik sokongan kepada Kerajaan PN, langkah itu tidak akan ke mana kerana ahli-ahli Parlimen UMNO tidak akan ikut, tak kanlah UMNO hendak pecat kesemua mereka disebabkan tidak mematuhi arahan parti.

Selain itu, Ahmad Zahid juga tahu bahayanya penarikan sokongan itu dilakukan kerana ia akan turut menyebabkan UMNO akan kehilangan jawatan sebagai Menteri Besar dan Ketua Menteri di Johor, Perak dan Melaka.

Atas sebab itulah, penulis lebih cenderung untuk melihat kenyataan media Ahmad Zahid lebih bermotifkan politik dan penuh kecelaruan. 

Apabila Ahmad Zahid berkata, seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad, apa maksudnya? Siapa orang itu? Apakah daripada UMNO seperti mana naratif yang disusun oleh salah seorang pemimpin berpengaruh dalam UMNO ketika pertemuan dengan Ahli Parlimen UMNO di Wisma Pahlawan, Isnin lalu?

UMNO kena sedar, mereka parti yang kalah dalam pilihan raya. Tapi kalau mereka kemaruk sangat mahu melantik pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri, siapa? Tak kan nak lantik dalam kalangan mereka yang ada kes mahkamah? Kalau dok ulang-alik pi mahkamah bila ada masa nak uruskan negara?

Dan adakah parti-parti lain terutamanya Bersatu akan bersetuju UMNO memegang jawatan itu? Semalampun khabarnya ‘dah ada yang panas’ bila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik Timbalan Perdana Menteri, inikan pula Perdana Menteri. Kalau daripada Bersatu pula, siapa? Adakah UMNO akan bersetuju? 

Sebab itulah penulis sifatkan kenyataan atau keputusan UMNO ini pelik dan bercelaru. Ia boleh dianggap satu kenyataan sekadar untuk melepaskan geram kepada Perdana Menteri dan mahu memberikan mesej kepada rakyat kononnya mereka tegas memperjuangkan rakyat sehingga sanggup menarik sokongan kepada Muhyiddin. Tetapi apa kesudahannya?

Perlantikan, pengunduran seorang Perdana Menteri ada undang-undang dan peraturannya, bukannya boleh buat ‘live’ sidang akhbar pukul 1 pagi lepas tu minta Perdana Menteri berundur dan mahu seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Kalau UMNO berpendapat Muhyiddin sudah gagal dan tidak layak lagi menjadi Perdana Menteri, buktikanlah dengan angka? Apa yang UMNO lakukan tidak ubah seperti mana kenyataan seorang pemimpin  tidak lama dahulu, apabila muncul di sidang akhbar dengan berkata,’’Saya mempunyai majoriti sokongan yang kukuh dan menyakinkan,  dengan ini saya umumkan Kerajaan Muhyiddin telah jatuh!’’.

Setakat ini Muhyiddin masih memegang angka itu, sama ada sudah berkurangan atau tidak, buktikan di Parlimen nanti.

Apa yang dilakukan oleh MT UMNO pada malam ini terbukti bermotif politik semata-mata. Senarai 7 perkara yang dianggap kegagalan itu hanyalah ‘pelapik’ untuk ‘menghalalkan’ pengumuman meminta Muhyiddin berundur bagi melunaskan dendam politik – itulah yang boleh ditafsirkan.

Apapun tindakan UMNO itu hanya akan memburukkan imej parti tersebut kerana membuat satu pengumuman yang bercelaru dan bukannya keputusan yang bersandarkan kepada kebijaksanaan, keikhlasan dan ketenangan kepada sebuah yang sedang ‘berperang’.

Malang sekali, UMNO yang mendabik dada membela rakyat seperti mana ditegaskan oleh Ahmad Zahid sebenarnya sedang membuka jalan menambahkan kesengsaraan rakyat yang sedang berhadapan dengan polemik Covid-19.

Semoga malam tadi adalah kali terakhir kita mendengarkan pengumuman politik yang mencelarukan itu dan hanya sekadar mahu mencetuskan kemelut politik.