akhirnya doa dimakbulkan jua

Kisah benar ini diceritakan oleh pendakwah British, Abdur Raheem Green atau Anthony Vatswaf Galvin Green dalam satu ceramah tentang ayahnya yang memeluk Islam dalam tempoh 10 hari sebelum dia meninggal dunia.

Mr. Green adalah bekas Pengurus Bank Barclays di Kaherah. Manakala Abdur Raheem telah memeluk Islam lebih 20 tahun lalu. Ikutilah kisahnya…

Banyak kali saya ulang membaca hadis-hadis Rasulullah yang bercerita tentang bakti kepada ibu bapa. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina. Siapa yang mendapati kedua-dua orang tuanya (dalam usia lanjut) atau salah satu dari keduanya tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan merawat orang tuanya sebaik-baiknya).”

Terdapat satu kejadian di zaman Rasulullah s.a.w. seorang lelaki yang datang kepada Baginda s.a.w. untuk sama-sama menyertai perjuangan dan pertempuran. Lelaki itu berkata kepada Nabi s.a.w.

“Ibu saya menangisi pemergian saya.”

Lalu Nabi s.a.w. bersabda,

“Pulanglah dan jangan tinggalkannya sehingga kamu tinggalkan dia dalam keadaan ketawa.”

Sebab itulah, saya menghabiskan masa saya di sini menemani ibu saya selepas kematian ayah. Ada sesuatu yang menarik apabila menyebut tentang kematian ayah, ia lebih indah kalau saya mampu kongsikannya dengan orang lain.

Sesuatu yang ajaib berlaku setalah 23 tahun saya berdoa agar ayah menerima Islam sebelum ajal datang menjemput.

Ayah, seorang yang sangat hebat. Memiliki personaliti menarik dan tiada siapa dapat menyangkal dakwaan itu. Sepanjang 23 tahun saya tidak pernah jemu menceritakan kepadanya tentang keindahan Islam.

Saya mendidik diri untuk menunjukkan contoh yang terbaik sebagai seorang Muslim termasuklah cara hidup dan cara menghormati ibu bapa. Dalam masa sama, saya fikir ayah saya tidak langsung berminat dengan cerita-cerita Islam. Oleh itu, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk dia menjadi Muslim.

Abdul Raheem Green individu yang tidak pernah berputus asa mendoakan ayahnya kembali pada fitrah

Ayah sakit sejak beberapa tahun lalu. Keadaannya semakin tenat sejak beberapa minggu lalu ayah dimasukkan ke hospital.  Hati sayu melihat keadaan ayah, hati mengatakan mungkin malam ini adalah malam terakhirnya.

Kemudian saya termenung, kalau tidak disampaikan juga amanat itu malam ini, memang saya tidak akan maafkan diri saya.

Saya pernah menggunakan pelbagai cara untuk menariknya memeluk Islam. Namun, hasilnya tetap gagal. Tapi, ini adalah peluang terakhir untuk menarik ayah kepada Islam sebelum dia dijemput ilahi.

Akhirnya ayah akur

Di hospital itu, otak ini ligat berfikir mencari cara terbaik untuk meluahkannya. Bagaimana hendak memulakan bicara? Apakah cara yang terbaik untuk dekatinya di saat begini? Keadaan ayah terlalu lemah. Saya tidak mahu menyusahkannya dan tidak mahu dia kecewa.

Sejujurnya, saya takut dia berkata “Tidak!”. Bagaimana jika dia mahu mengucap syahadah tetapi tidak melaksanakan rukun-rukun Islam. Lebih menakutkan jika dia membenci Islam setelah sihat.

Ia sangat sukar. Hanya mualaf yang memiliki ibu bapa bukan Islam saja yang faham dilema ini. Allah Maha Mendengar dan amat berkuasa hanya doa yang dapat membantu saat diri teraba-raba mencari di mana harus dimulai. Saya memohon agar Allah mempermudahkan segala urusan.

Ketika dia sedang terbaring lemah, saya katakan padanya,

“Ayah, saya ada sesuatu yang sangat penting untuk diberitahu. Ayah dengar tak?

Ayah tidak mampu bercakap dengan lancar. Jadi, dia hanya menganggukkan kepalanya. Kemudian saya berkata,

“Saya ada sesuatu untuk diberitahu. Kalau tak, saya akan menyesal seumur hidup.”

Saya katakan padanya,

“Pada hari kiamat nanti, akan datang seorang lelaki di hadapan Allah sambil ditunjukkan amalan-amalan jahatnya dari setiap arah. Lalu, Allah berkata padanya,

“Kamu memiliki sesuatu yang paling baik dari semua itu.” Dan lelaki itu bertanya, “Apa dia wahai Tuhan Yang Maha Agung?” Allah menjawab,

“Sesuatu yang tertulis, Tiada Tuhan Selain Allah dan Nabi Muhammad Itu Pesuruh Allah.”

Saya bercerita lagi, “Ayah, itulah kunci syurga. Ia adalah kejayaan dalam kehidupan yang akan datang. Menarik tak ayah?”

Ayah menganggukkan kepala. Saya bertanya,

“Maksudnya, ayah nak ucapkan lafaz itu?

Lalu, ayah saya menjawab, “Ya!” Ayah mengikut setiap kalimah yang saya ucapkan.

Dengan berat hati, saya terpaksa meninggalkan ayah seorang diri di hospital kerana peraturannya yang sangat ketat. Esoknya, saya kembali semula tetapi dia tidak ingat apa-apa. Sejak dia sakit, ingatannya semakin lemah hari demi hari. Bagaimanapun, ia tidaklah berakhir di situ.

Tiga atau empat hari sebelum dia meninggal dunia, ayah bersuara,

“Tolong aku, tolong aku.”

Saya segera mendapatkan ayah,

“Apa yang ayah nak saya tolong?” Ayah jawab,

“Aku tak tahu.”

Kemudian dia menyambung,

“Berikan aku sesuatu yang mudah untuk aku lakukan.”

Lantas saya teringat hadis Nabi s.a.w. Ada sesuatu yang ringan pada lidah tetapi berat pada timbangan.

“Kalau saya jadi ayah, saya akan mengucap La ilaha illallah berulang kali,” pujuk sya. Ayah menjawab,

“Ya! Itulah yang aku maksudkan.”

Kami menghabiskan masa selama satu jam setengah mengulang-ulang kalimat itu bersama-sama.

Kemudian, saya pulang ke United Kingdom kerana ada urusan yang perlu diselesaikan. Beberapa hari kemudian saya menerima berita dari emak bahawa ayah telah meninggal dunia. Tapi, saya puas kerana sempat membawa ayah mencari Nur itu.

Alhamdulillah, akhirnya doa saya Tuhan makbulkan. Semoga kita semua tetap berusaha dan berdoa mencapai apa yang kita inginkan dan jangan sesekali berputus asa terutama dalam berdakwah kepada ahli krluarga kita. Wallahu a’lam