Adakah meramal kematian seseorang dibenarkan dalam Islam. Ini penjelasannya

Dari Penulis

Di dalam kehidupan ini, pastinya segala yang hidup akan merasakan kematian. Disebabkan kematian itu merupakan suatu yang berlaku saban hari, orang yang sering melihat saat kematian ini, pada satu tahap dia akan mempunyai ilmu tentang tanda-tanda kematian.

Dan inilah yang sering dinyatakan oleh para doktor tatkala berhadapan dengan para pesakit, terutama pada hari ini ketika wabak pandemik Covid-19 semakin tidak terkawal. Lazim kita dengar para doktor berpengalaman menyatakan “Pesakit ini tiada harapan sembuh” atau “Pesakit ini hanya boleh hidup sekian-sekian waktu sahaja”.

Itu kerana pengalaman yang mereka miliki saat berhadapan dengan para pesakit dan bukanlah kerana mereka mengetahui hal yang ghaib.

Samalah juga dengan kenyataan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga para doktor yang menyarankan pengambilan vaksin dapat mencegah dan mengelakkan kematian angkara Covid-19. Ramalan mereka terhadap kematian bukan hanya bersandar kepada teori kosong semata-mata tetapi dibentuk melalui pengalaman yang mereka tempuhi.

Malah kenyataan ini juga dapat digarap daripada athar berikut:

Bahawa Ali bin Abi Talib r.a. keluar daripada rumah Nabi s.a.w. semasa Baginda sakit sebelum mati. Orang ramai bertanya, ‘Wahai Abu Hasan, bagaimana keadaan Rasulullah s.a.w.?’ Beliau menjawab,

‘Baginda berada dalam keadaan baik, Alhamdulillah.’ Lalu Al-Abbas menarik tangannya dan berkata,

‘Ketahuilah bahawa engkau demi Allah selepas tiga hari akan menjadi hamba kepada tongkat pemerintahan. Demi Allah, aku lihat Rasulullah s.a.w. akan wafat pada sakitnya ini. Sesungguhnya aku mengetahui kematian pada wajah-wajah keluarga Abdul Muttalib…’ – HR al-Bukhari

Semasa mensyarahkan hadis ini di dalam kitab Fathul Bari, al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani telah berkata,

“Ini menunjukkan kekuatan firasat al-Abbas r.a.”

Kemudian Ibn Hajar menjelaskan lagi,

“Perkara ini disebut oleh al-Abbas berdasarkan kepada pengalamannya kerana beliau sebutkan, Sesungguhnya aku mengetahui kematian pada wajah-wajah keluarga Abdul Muttalib.”

Ilmu meramal kematian dibolehkan berdasarkan pengalaman yang mereka tempuhi saat berhadapan dengan pesakit

Justeru, firasat memang wujud. Kebiasaannya firasat dikecapi melalui pengalaman. Sunnatullah atau sistem yang Allah Ta’ala letakkan kepada alam semesta ini ialah setiap sesuatu ada sebab atau punca dan petanda.

Mereka yang mempelajari ilmu tentang punca dan hasil pasti lambat laun boleh mempunyai kemahiran dalam membuat ramalan berdasarkan ilmu itu. Pengalamannya yang banyak dalam meneliti perkara ini menjadikannya seorang yang mempunyai firasat yang kuat.

Namun pada masa yang sama, Allah boleh sahaja menggerakkan sesuatu tanpa punca dan petandanya. Perkara ajaib inilah yang dinamakan sebagai mukjizat para Nabi a.s. dan karamah para wali.

Hendaklah ditekankan di sini bahawa para wali yang dimaksudkan di sini ialah para wali yang benar-benar beriman dan bertaqwa. Firman Allah dalam surah Yunus ayat 62-63,

Ingatlah, Sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.”

Mukjizat Nabi penyebab perkara luar biasa berlaku

Al-Shaikh Hafiz al-Hakami dalam kitabnya A’lam al-Sunnah al-Mansyurah telah berkata:

“Karamah-karamah para wali adalah benar. Ianya ialah kemunculan sesuatu perkara yang luar biasa di atas tangan mereka yang bukan dari usaha mereka. Ianya juga bukanlah bertujuan mencabar (seperti mukjizat), sebaliknya Allah yang melakukannya melalui mereka walaupun mereka tidak mengetahui.

Contohnya ialah kisah Ashabul Kahf, Ashab al-Sakhrah dan Juraij al-Rahib. Kesemua karamah ini adalah rentetan mukjizat nabi-nabi mereka. Berdasarkan inilah kita dapati karamah umat ini lebih banyak dan lebih hebat kerana mukjizat Nabi Muhammad dan kehormatannya lebih banyak dan lebih hebat.

Contohnya ialah peristiwa Abu Bakar dalam peperangan al-Riddah, laungan Umar di atas mimbar Masjid Nabawi yang sampai kepada Sariah yang berada di al-Syam, tulisan Umar kepada Sungai Nil di Mesir lalu sungai itu mengalir, tentera berkuda al-‘Ala bin al-Hadhrami yang menyeberangi lautan dalam peperangan dengan Kerajaan Rom, solat Abu Muslim al-Khaulani di dalam api yang dinyalakan oleh al-Aswad al-‘Ansi dan lain-lain lagi yang berlaku di zaman Nabi s.a.w.

Dan selepas Baginda s.a.w. di zaman sahabat, tabi’in dan selepas mereka sehinggalah ke hari ini, sehinggalah ke hari kiamat nanti. Sebenarnya, kesemua karamah ini adalah merupakan mukjizat Nabi kita s.a.w. kerana mereka mendapatnya dengan mengikut Baginda s.a.w.

Adapun jika ada perkara luar biasa yang berlaku pada orang yang tidak mengikuti Rasulullah s.a.w. semuanya itu ialah fitnah, sihir dan bukannya karamah. Kumpulan ini adalah wali-wali syaitan dan bukan wali-wali al-Rahman. Semoga Allah melindungi kita.”

Pengambilan vaksin diramal mampu mencegah kematian angkara covid 19

Sebagai penutup, dapatlah kita tegaskan di sini bahawa ilmu tentang perkara ghaib itu hanya milik Allah. Allah boleh menyingkap perkara itu untuk para malaikat dan para rasul dan juga sebahagian makhluk-makhluk-Nya.

Dalam keadaan ini, sebahagian perkara ghaib itu telahpun bertukar menjadi perkara nyata dan zahir. Seperti ‘scan’ bayi, ianya bukan lagi perkara ghaib kerana doktor dapat melihat fizikal bayi itu.

Umat Islam perlu berwaspada dengan dakwaan-dakwaan yang menyalahi al-Quran dan al-Sunnah. Janganlah cepat terpedaya dengan dakwaan mistik sesetengah pihak yang mengeksploitasi kejahilan sebahagian umat Islam.

Jadikanlah al-Quran dan al-Sunnah sebagai dasar ilmu dan kehidupan kita. Jangan mudah menerima dakwaan mengetahui ilmu ghaib daripada mereka yang dinobatkan sebagai wali oleh pengikut-pengikut mereka.

Jika apa yang dinyatakan itu menepati al-Quran dan al-Sunnah terimalah, jika tidak tinggalkanlah. Wallahu a’lam

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This