KERAJAAN telah bersetuju untuk menambah peruntukan sebanyak RM100 juta bagi tujuan penyumberluaran perkhidmatan kesihatan yang berkaitan khususnya di Lembah Klang.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, langkah penyumberluaran itu merangkumi merujuk kes bukan COVID-19 di Lembah Klang ke hospital swasta yang telah bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak awal pandemik.
Kata beliau, bagi menangani peningkatan kes mendadak di Lembah Klang, KKM juga menambah dua buah hospital penuh COVID-19 iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang bermula 23 Jun lalu.
Beliau memaklumkan, Hospital Ampang ketika ini mempunyai kapasiti 577 katil.
Selain itu, Dr. Adham berkata, hospital lain juga akan dijadikan sebagai hospital hibrid COVID-19 kecuali Hospital Shah Alam yang dikekalkan sebagai hospital bukan COVID-19.
“Kita juga telah menambah kapasiti katil di semua hospital di Lembah Klang iaitu daripada 3,412 kepada 3,777 di Selangor dan 795 kepada 1,129 buah katil di Kuala Lumpur serta Putrajaya.
Baca artikel berkaitan: Pesakit terpaksa dirawat atas lantai kerana kecemasan, katil penuh – Pengarah HKL
“KKM juga telah bekerjasama dengan tiga buah hospital pengajar universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya; Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengoptimumkan penggunaan katil di hospital tersebut.
“Ia sekali gus menjadikan keseluruhan katil bagi perawatan COVID-19 di Lembah Klang melebihi kapasiti 5,000 buah katil,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, KKM juga akan menambahkan kapasiti rawatan kecemasan khususnya di Selangor dengan meningkatkan lagi jumlah katil kecemasan daripada 486 kepada 591 katil.
Katanya, kapasiti perawatan di unit rawatan rapi (ICU) hospital juga akan ditingkatkan daripada 280 kepada 349 di Selangor.
Bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya pula, kata beliau, sebanyak 117 buah katil ICU disediakan daripada 90 buah sebelum ini.
Beliau menjelaskan, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) juga telah mengaktifkan zon pengurusan bencana (DMZ) melibatkan kawasan ruang bawah tanah yang dilengkapi katil, bekalan oksigen berpusat, vacuum ports dan sistem pendawaian elektrik khas.
“Kompleks rawatan serta hospital medan ini dapat menyediakan kapasiti hingga 150 katil manakala kapasiti ICU juga ditingkatkan dengan penambahan 17 katil termasuk keperluan ventilator menjadikan keseluruhan kapasiti sebanyak 25 buah.
“Bagi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, penambahan katil bagi perawatan COVID-19 telah ditambah sebanyak 151 katil wad.
“Penyumberluaran rawatan pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta juga telah dilaksanakan dari HTAR dan beberapa hospital KKM di Lembah Klang.
“Ini bertujuan untuk membolehkan HTAR serta hospital KKM di Lembah Klang meningkatkan kapasiti bilangan katil COVID-19,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

