ENGGAN membiarkan namanya makin ‘busuk’ angkara individu tidak bertanggungjawab, selebriti Siti Sarah memberikan tempoh 48 jam terhadap seorang wanita yang menipu orang ramai dengan mendakwa dirinya sebagai ‘dropship’ dibawah syarikat penyanyi itu, Ratasya Empire Sdn.Bhd.
Susulan itu, Sarah,37, melalui wakil pegawai pemasaran Loveta Sdn.Bhd., iaitu Rizam Mahyuza Morsit telah membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pukul 6.30 petang, semalam.
Kata Sarah, dia menerima banyak mesej langsung (DM) daripada pelangganmelalui akaun rasmi syarikatnya, LovetaHQ yang sehingga kini masih belum menerima barang yang sudah dibayar kepada individu terbabit.
“Saya sangat sedih kerana di saat orang sedang susah dan tidak ada duit untuk makan tetapi masih ada yang tergamak menipu duit orang lain. Niat saya buka perniagaan ini untuk membantu mereka yang mahu tambah pendapatan tetapi tak sangka ada yang ambil kesempatan.
“Selepas saya diberitahu oleh pekerja mengenai isu tersebut, saya minta untuk terus buat laporan polis sebab saya rasa hal ini sangat serius. Wanita itu telah memburukkan nama dan syarikat saya kepada pelanggan yang saya rasa tidak boleh diberi muka.
“Kalau sekali dia buat silap, mungkin saya boleh bertimbang rasa tetapi perkara ini sudah berlanjutan sejak dua bulan lalu..memang dia berniat untuk menipu orang,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya bersama pihak media, hari ini.
Justeru itu, Sarah menuntut individu itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi rakaman video selain perlu melunaskan semua wang yang telah diambil hasil penipuannya.
“Setakat ini, pihak saya sudah dapat mengenal pasti empat orang pelanggan yang telah ditipu oleh wanita terbabit. Itu pun selepas pelanggan tersebut menghubungi kami bagi bertanyakan status terkini barangan belian mereka.
“Rupa-rupanya, wanita itu membuat cerita kononnya pihak kami lambat memproses tempahan sedangkan kami tidak menerima sebarang pesanan. Sekali lagi saya tegaskan, dia bukan ‘dropship’ kami.
“Saya bagi dia masa 48 jam dari laporan polis yang dibuat semalam untuk bertanggungjawab atas apa yang telah dia lakukan. Saya juga mahu dia membayar ganti rugi yang ditanggung pelanggan atau dia bakal berdepan dengan tindakan yang lebih keras.
“Pihak saya ada cuba menghubunginya selepas laporan polis dibuat tapi dia tidak memberikan sebarang maklum balas. Saya masih lagi memberi muka kepada dia kerana sebolehnya saya tidak mahu menutup periuk nasi orang, namun apa yang dilakukan itu salah,” tegasnya.
Untuk info, Sarah mengusahakan perniagaan tudung berjenama Loveta By Siti Sarah atas dasar mahu membantu orang ramai menambah pendapatan tanpa mengeluarkan modal yang besar.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

