SEORANG wanita berusia 42 tahun yang juga pemilik tadika swasta mengalami kerugian RM1.3 juta selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan saham secara dalam talian.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian berlaku pada September lalu ketika mangsa melihat iklan pelaburan di media sosial yang menawarkan keutungan tinggi dan lumayan.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa berhubung dengan suspek untuk mendapatkan maklumat lanjut dan dijanjikan keuntungan sehingga 41 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan.
“Melihat kepada keuntungan yang dijanjikan, antara 6 November sehingga 21 November lalu, mangsa telah membuat pembayaran secara dalam talian berjumlah RM1.3 juta ke beberapa akaun bank atas arahan suspek,” katanya dalam kenyataan.
Ab Rahaman berkata, selepas pembayaran dibuat, suspek terus mendesak mangsa memasukkan sejumlah wang tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran ‘keuntungan’.
Katanya, mangsa yang gagal menerima keuntungan yang dijanjikan percaya telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis, semalam.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu yang membawa hukuman penjara selama tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda,” jelasnya.
Untuk itu polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dan tidak munasabah.

