15 saat! Itu sahaja masa yang diperlukan untuk varian baharu COVID-19 iaitu Delta boleh merebak dan menjangkiti orang ramai.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut Dr. Noor Hisham, peningkatan kes sehingga mencecah 13,215 jangkitan pada hari ini bukan sahaja berlaku di negara kita sebaliknya di negara-negara lain juga.
Kata beliau, trend peningkatan yang bermula sejak 26 Jun lalu itu adalah kerana kebolehjangkitan varian Delta yang boleh berjangkit dengan cepat.
Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) untuk varian Delta adalah lebih tinggi iaitu antara 5 hingga 8 berbanding 2.5 hingga 3 bagi virus biasa.
“Sifat virus ini berubah. Dahulu kita kata kes kontak rapat adalah dalam jangka masa 15 minit dengan jarak kurang satu meter.
“Namun begitu, varian baharu ini ktia dimaklumkan jangkitan boleh berlaku dalam 15 saat sahaja,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Baca artikel berkaitan: Lebih 8,000 kes baharu tidak bergejala, 110 lagi kematian akibat COVID-19
Sehubungan itu, Dr. Noor Hisham menasihatkan orang ramai untuk terus menggunakan kaedah kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan mengelakkan tempat sesak.
Pada masa sama, beliau berkata, langkah pencegahan dan kawalan menerusi vaksinasi disifatkan sangat penting.
Mengambil contoh peningkatan kes di Labuan yang pernah mencecah 1,340 dalam tempoh hanya satu minggu, Dr. Noor Hisham berkata, tindakan kesihatan awam dan vaksinasi dapat menurunkan jumlah kes ketika ini.
“Lihat kepada tindakan kesihatan awam dan vaksinasi di Labuan. Kita kenal pasti jangkitan varian Delta di sana adalah daripada pekerja industri perkapalan.
“Dalam masa kurang tiga minggu, kita laksanakan tindakan kesihatan awam dan vaksinasi. Ketika ini 52 peratus populasi di Labuan telah menerima vaksin masing-masing dan menyaksikan kes turun kepada hanya 26 hari ini.
“Walaupun Delta menular di Labuan tetapi apa yang penting adalah kita kena tingkatkan vaksinasi,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

