Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) membantu salah seorang warga emas yang dipercayai positif Covid-19 menolak kerusi roda ketika beratur untuk mendapatkan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 Stadium Malawati, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan membangunkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya bagi menguruskan kes-kes positif COVID-19 yang tidak bergejala atau bergejala ringan (kategori 1 dan 2).

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, keputusan itu dibuat dalam sesi perbincangan Pengurusan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata beliau, pemantauan kes-kes tersebut akan diadakan secara maya tanpa keperluan menghadiri secara fizikal di CAC.

“Arahan pengawasan di rumah (HSO) secara digital juga akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau aplikasi lain dan sah dari segi undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, Chee Kheong turut memaklumkan kerajaan akan meningkatkan kapasiti katil hospital sedia ada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bagi menampung pertambahan kes di Lembah Klang.

Beliau berkata, katil-katil yang akan ditambah itu termasuk di unit rawatan rapi (ICU) dan juga bukan ICU.

Baca artikel berkaitan: Hanya 15 saat diperlukan untuk varian Delta menular

Ketika ini, katanya, 40 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital mempunyai gejala serius memerlukan sama ada bantuan oksigen dan alat pernafasan iaitu kategori 3 dan 4.

“Khasnya untuk kapasiti katil ICU, tambahan 30 katil melalui tiga modular ICU akan diterima tidak lama lagi,” jelas beliau.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Di samping itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Shafiq Abdullah pula berkata, KKM akan memobilisasikan seramai 3,313 lagi anggotanya bagi aktiviti pencegahan dan kawalan COVID-19 di Lembah Klang dalam tempoh seminggu ini.

Menurut beliau, setakat ini, seramai 263 petugas tetap dan kontrak sudah pun dimobilisasikan di seluruh Lembah Klang.

Katanya, ia juga termasuk mengambil anggota kesihatan sudah bersara untuk bersama KKM dalam pengurusan COVID-19.

“KKM juga sudah melantik 5,100 petugas kesihatan secara kontrak yang ditempatkan di Selangor, manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya (1,538) serta Negeri Sembilan (1,724).

“Pelantikan ini meliputi Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi, Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram