SEMASA mengerjakan fardu haji pada tahun 2004 lalu, saya dan isteri, Rauyah Sudar, mengalami kejadian paling menakutkan. Ia terjadi ketika kami berada di Mina pada 11 dan 12 Zulhijjah.

Sepanjang kami berada dua hari di situ, berlaku kejadian ribut taufan yang sangat dahsyat. Ribut itu melanda seluruh kawasan perkhemahan jemaah haji, mengakibatkan banyak khemah yang diterbangkan angin kencang.

Ramai yang terpaksa lari menyelamatkan diri ke kawasan selamat apabila taufan melanda. Mereka yang bertempiaran lari itu ada yang mengalami kecederaan kecil. Tetapi syukurlah, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ribut petir berserta hujan lebat itu menyebabkan sebahagian kawasan rendah dinaiki air. Keadaan lalu-lintas mengalami kesesakan yang teruk. Ketika kejadian itu, saya dan semua jemaah lain masih berada di Mina untuk bermalam dan seterusnya melakukan ibadah melontar di ketiga-tiga jamrah iaitu Jamratul Ula, Wusta dan Aqabah.

Gambar hiasan : Ribut dan hujan lebat itu menyebabkan banjir melanda khemah jemaah di Mina. Tempat melontar digenangi air, kami diingatkan supaya berhati-hati ketika menunaikan rukun tersebut.

Kami mendapat tahu, akibat ribut taufan itu, tempat melontar digenangi air. Taufan juga menyebabkan kerosakan kecil pada khemah jemaah haji Malaysia. Khemah kami terjongket. Akibatnya, sepanjang hari itu kami tidak berani keluar kerana takut terjadi sesuatu yang buruk.

Hari itu saya dan isteri hanya duduk di dalam khemah, beribadah memohon agar Allah menyelamatkan nyawa kami daripada segala bahaya. Angin taufan dan hujan itu berterusan sehinggalah keesokan harinya. Pegawai-pegawai Tabung Haji memberitahu kami, ribut taufan seperti itu merupakan sejarah kerana jarang kejadian seumpama itu berlaku sebelum ini. Kami juga diberitahu, banjir kilat turut melanda sekitar Masjidilharam, sekitar kota Mekah, Madinah dan Arafah.

Pada hari berkenaan, jemaah haji dari Malaysia tidak pergi melontar. Kami dinasihatkan supaya pergi pada keesokan harinya. Lagipun, pada hari pertama melontar, ramai jemaah haji dari negara lain berebut-rebut menunaikan tanggungjawab itu dan ini berbahaya kepada keselamatan. Ia boleh menyebabkan jemaah bertolak-tolak dan mengakibatkan ada di antara mereka yang terjatuh atau hilang.

Daripada cerita rakan-rakan, ramai jemaah yang terjatuh itu tidak sempat bangun untuk menyelamatkan diri kerana jemaah yang ramai sedang bergerak itu tidak mampu untuk berhenti. Jika berhenti atau mengelak, mereka juga akan jatuh dan dipijak jemaah lain. Ketika itulah ada yang mati atau cedera akibat dipijak.

Tragedi boleh berlaku jika jemaah tidak mengikut waktu yang diarahkan dan berebut-rebut hendak melontar jamrah.

Saya sendiri pernah mendengar cerita dari seorang rakan bahawa dia pernah memijak mayat jemaah yang terjatuh itu kerana tidak ada pilihan. Rempuhan dari belakang terlalu kuat, kalau dia berhenti, alamat dia juga akan terjatuh dan dipijak jemaah lain. Bagi mengelakkan kesesakan dan bahaya itulah maka kami dinasihatkan supaya melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari kedua iaitu keesokan harinya, pada 13 Zulhijah.

Pada hari berkenaan, jemaah sudah berkurangan dan kami dapat melontar dengan selesa.  Saya masih ingat, pada 13 Zulhijah itu, jemaah haji dari Malaysia keluar melontar secara berkumpulan. Sejak awal lagi saya sudah berjaga-jaga dan menasihatkan isteri supaya jangan berenggang dengan saya.

“Jangan lepaskan tangan, bahaya,” pesan saya kepada isteri semasa kami berjalan dalam kumpulan menuju ke tempat melontar.

Saya sentiasa memegang erat tangan isteri. Saya sudah dimaklumkan oleh rakan-rakan, kawasan melontar memang berbahaya. Banyak tempat yang masih basah dan licin. Kalau sesiapa terjatuh, memang tidak ada harapan lagi untuk hidup. Alhamdulillah saya dan isteri berjaya melontar di Jamratul Ulla dan Jamratul Wusta dengan sempurna.

Setelah itu kami terus berpegangan tangan menuju ke Jamratul Aqabah. Dalam perjalanan menuju ke Jamratul Aqabah, tiba-tiba saya lihat jemaah berpusu-pusu keluar untuk melontar. Sangkaan awal bahawa tidak ramai jemaah melontar pada hari berkenaan, ternyata meleset.

Jemaah mula bersesak dari arah belakang. Saya pegang tangan isteri, tapi tiba-tiba dia dirempuh…

Kelihatan jemaah dari seluruh dunia bergerak dari arah yang sama. Di belakang kami, jemaah sedang berasak-asak. Mereka begitu hampir dengan kami.

Saya terus memegang erat tangan isteri. Kami sudah nampak Jamratul Aqabah. Tetapi ketika sedang berpimpin tangan di celah-celah ribuan jemaah, tiba-tiba isteri saya dirempuh dan…!!! Tangan kami terlepas.

Isteri saya tersungkur apabila sekumpulan jemaah merempuhnya dari arah belakang. Kejadian ini terlalu pantas. Saya hanya mampu melihat isteri saya terlentang di atas jalan dan para jemaah lain mula mengasak ke arahnya.

Ketika itu saya hanya terdengar pekikan isteri: “MAKKKKKKKKK!!!” Dalam hati saya berkata, isteri saya dalam bahaya. Pada saat itu saya tahu hanya Allah saja yang berkuasa menyelamatkan nyawa isteri saya daripada dipijak.

Saya tidak mampu menghalang jemaah yang sedang bergerak bagai gelombang ombak yang sangat dahsyat. Saya juga tidak berdaya untuk mencapai tangan isteri saya semula.

Tiba-tiba, sebaik isteri menyebut perkataan ‘mak’ saya lihat satu makhluk besar setinggi hampir lima meter berdiri di depan saya! Keadaan fizikal makhluk itu sungguh luar biasa.

Makhluk berkulit hitam itu terus menyambar tangan isteri saya yang sedang terlentang. Dia menarik tangan isteri saya supaya isteri saya boleh berdiri semula. Isteri saya cepat-cepat bangun dan memegang tangan saya kembali. Saya terus menenangkannya yang kelihatan gugup dengan apa yang baru berlaku tadi.

Makhluk hitam setinggi kira-kira lima meter itu menarik tangan isteri saya supaya dapat berdiri semula dan tidak dipijak oleh jemaah-jemaah lain. Ia muncul secara tiba-tiba dan ghaib dalam sekelip mata.

Alhamdulillah, saya bersyukur dan tidak putus-putus menyebut nama Allah kerana makhluk hitam itu telah menyelamatkan nyawa isteri saya. Jika tidak ada makhluk besar itu saya tidak tahu apa yang terjadi kepada isteri saya kerana ketika itu saya betul-betul panik.

“Eh! Mana dia?” tanya saya kepada isteri apabila mendapati makhluk berkulit hitam dan setinggi hampir lima meter itu hilang entah ke mana.

Kami betul-betul hairan kerana kalau diikutkan, mustahil makhluk setinggi itu hilang daripada pandangan kerana para jemaah lain di bawah paras pinggangnya saja. Tapi itulah yang berlaku, makhluk itu ghaib. Di kiri tidak ada, di kanan, depan dan belakang pun tidak kelihatan.

Kedatangan makhluk besar itu sungguh tidak terduga. Anehnya selepas makhluk besar itu menyelamatkan isteri saya, kelibatnya tidak kelihatan lagi. Ia muncul dalam sekelip mata, hilang pun dalam sekelip mata. Saya sendiri tidak sempat bersalam dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

Kami meneruskan perjalanan. Tetapi sepanjang berjalan menuju ke Jamratul Aqabah, fikiran saya terus memikirkan tentang makhluk besar itu. Wajahnya terbayang di ruang mata saya. Makhluk hitam itu memakai pakaian serba putih.

Saya cuba mencari makhluk itu, ternyata tiada manusia sebesar dan setinggi itu ditemui sekitar Jamratul Aqabah. Pulang ke khemah selepas menunaikan ibadah tersebut, saya bertanya kepada isteri, siapakah yang menyambar tangannya sewaktu dia terlentang di atas tanah berhampiran Jamratul Aqabah? Tapi isteri saya tidak tahu kerana ketika itu keadaan kelam-kabut.

Isteri saya hanya nampak makhluk yang bertubuh besar, tinggi dan hitam itu tiba-tiba saja muncul di sisinya selepas dia menyebut perkataan ‘mak’. Makhluk itu juga tersenyum ketika menarik tangannya.

Gambar hiasan : Siapakah makhluk hitam yang besar itu? Jin? Manusia? Atau malaikat?

Siapakah makhluk itu? Manusia? Jin? Atau malaikat?

Semasa pulang ke tanah air, barulah saya tahu, semasa kejadian aneh yang menimpa kami di Mina itulah tsunami paling dahsyat melanda Aceh dan pulau-pulau Indonesia serta sebahagian kecil negara kita.

Pencerita: Haji Tumin Amat

——————————————

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam