BERDASARKAN perkembangan positif kadar vaksinasi negara, kerajaan bersetuju untuk melakukan sedikit perubahan ke atas prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Fasa 1 dan Fas 2.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata, bagi Fasa 1 ia melibatkan enam perubahan, manakala bagi Fasa 2 ia melibatkan dua perubahan.
‘’Bagi Fasa 1, dalam usaha meningkatkan produktiviti kehadiran di pejabat bagi sektor awam ditingkatkan kepada 40 peratus dan tertakluk kepada arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN. Selain itu, sektor perakaunan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus,’’ katanya.
Beliau berkata, operasi pasar harian dan pasar awam dilanjutkan dari pukul 6 pagi hingga 4 petang tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pematuhan SOP dan pengawasan anggota Rela atau PBT.
‘’Manakala waktu operasi bagi Pasar Segar Terkawal (PST) akan dilanjutkan dari pukul 7 pagi hingga 2 petang,’’ katanya.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan turut memaklumkan bagi Fasa 1 aktiviti berbasikal dan permainan individu yang boleh mengamalkan penjarakan fizikal 2 meter hingga 3 meter dibenarkan di kawasan kejiranan sahaja.
‘’Pelabuhan, lapangan terbang dan sektro logistik dibenarkan untuk beroperasi 24 jam. Pengoperasian lombong dan kuari adalah dibenarkan dengan kapasiti pekerja sehingga 60 peratus tertakluk kepada SOP perlombongan dan pengkuarian.
‘’Ini bagi memenuhi keperluan projek-projek kritikal yang melibatkan pembaikan dan pembinaan jalan raya, jalan-jalan luar bandar serta persekutuan,’’ katanya.
Mengenai perubahan bagi Fasa 2, beliau berkata, penggambaran filem di luar studio dibenarkan dengan pematuhan SOP ketat dan waktu operasi perniagaan dari pukul 6 pagi hingga 10 malam termasuk ‘speciality stores’ di stesen minyak.

