GARA-GARA menziarahi kubur pada Hari Raya Aidiladha semalam, seorang lelaki dikompaun sebanyak RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Suprintendan Hoo Chang Hook, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 12 dan 13, Negeri Sembilan.
Katanya, pasukan khas pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara kemudiannya bertindak menahan seorang pemuda berusia 21 tahun bersama dua anak saudaranya di lokasi kejadian.
Beliau menjelaskan, dia didapati ada di lokasi bagi tujuan ziarah kubur yang merupakan aktiviti dilarang ketika ini.
“Kompaun kemudiannya dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya di sini hari ini.
Dalam masa sama, Chang Hook menasihatkan orang ramai agar mematuhi semua SOP ditetapkan kerajaan.
Tambahnya, ini termasuk tidak melakukan aktiviti ziarah kubur dan berkunjung rumah ke rumah sepanjang Aidiladha ini.

