TIGA lelaki warga asing ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan Strike Team Balai Polis Tawau selepas dipercayai terbabit dalam kes memiliki barang curi dan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten komisioner Jasmin Hussin berkata, kejayaan itu hasil operasi dan rondaan cegah jenayah yang dijalankan anggota Strike Team Balai Polis Tawau di sekitar daerah ini pada 22 dan 28 Mei yang lalu.
Jelas beliau, dalam operasi pertama pada 22 Mei yang lalu kira-kira awal jam 2 pagi di sebuah pondok di tepi bahu Jalan di Batu 4½ Jalan Apas Tawau, sepasukan polis telah mengesan dua lelaki berusia 20-an dan 30-an dalam keadaan mencurigakan sebelum kedua-duanya cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.
“Pasukan berjaya menahan kedua-dua suspek dan hasil pemeriksaan terhadap salah seorang daripadanya menemukan sebuah powerbank berjenama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan satu kes curi yang sedang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya.
Menurutnya, susulan tangkapan tersebut, kedua-dua lelaki berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas dipercayai memasukkan dadah ke dalam tubuh badan berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan.
“Hasil semakan turut mendapati salah seorang suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah curi, keterangan diri dan dadah,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 28 Mei yang lalu kira-kira jam 1.45 pagi, sepasukan Strike Team Balai Polis Tawau yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Persisiran Tawau telah menahan seorang lelaki warga asing dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan, suspek berusia 30-an itu bertindak menyerahkan satu paket plastik lutsinar kecil yang mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu beberat 0.07 gram.
Jelasnya, suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah itu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tegasnya, Polis Daerah Tawau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah, penyalahgunaan dadah mahupun pelanggaran undang-undang imigresen. Operasi penguatkuasaan dan rondaan cegah jenayah akan terus dipertingkatkan dan diperhebat dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Tambahnya beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak melindungi, menggaji atau bersekongkol dengan individu yang berada di negara ini tanpa dokumen yang sah serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti jenayah atau penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing. Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak polis mengekalkan keamanan dan kesejahteraan daerah Tawau.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

