MAJLIS Perbandaran Kajang (MPKj) mengesahkan pembinaan haram struktur kediaman Rohingya di kawasan Sungai Makau, Hulu Langat yang menjadi perhatian ramai sejak kebelakangan ini dilakukan tanpa sebarang kelulusan pihak berkuasa tempatan.
MPKj dalam kenyataan memaklumkan, hasil semakan mendapati pembinaan berkenaan membabitkan Lot 217, Lot 218 serta sebahagian tanah kerajaan yang merupakan rezab sungai berhampiran Kampung Kenangan 18, Sungai Tekali, Mukim Hulu Langat.
Menurut MPKj, kawasan terbabit dikategorikan sebagai zon perumahan berdasarkan Rancangan Tempatan MPKj Selangor 2035 (Pengubahan 2).
“Semakan melalui Sistem OSC 3.0 Plus Online MPKj mendapati tiada sebarang permohonan berkaitan Kebenaran Merancang, Pelan Infrastruktur mahupun Pelan Bangunan dikemukakan bagi pembangunan di kawasan berkenaan.
“Ini bermakna pembinaan bangunan di lokasi tersebut dilaksanakan tanpa kelulusan MPKj,” jelas MPKj.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan penularan video dan pelbagai aduan awam berhubung kewujudan penempatan serta pembinaan haram di kawasan berkenaan.
MPKj memaklumakn, operasi penguatkuasaan telah dijalankan bersama agensi kerajaan berkaitan dan notis serta arahan mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) sudah dikeluarkan kepada pihak terbabit.
Menurut MPKj, lawatan ke lokasi aduan turut disertai MPKj di bawah penyelarasan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat bagi meneliti tindakan lanjut yang perlu diambil.
“MPKj akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan keputusan dan arahan yang diputuskan oleh pihak berkuasa berkaitan,” jelas MPKj.
Dalam pada itu, MPKj menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan agensi kerajaan lain dalam memastikan sebarang pelanggaran undang-undang di kawasan pentadbirannya ditangani secara tegas.
Pihak berkuasa tempatan itu turut menghargai keprihatinan orang ramai yang menyalurkan maklumat serta membangkitkan isu berkenaan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

