Isunya bermula apabila influencer dan penyanyi Caprice mendedahkan tentang tindakan Ustaz Ebit Liew yang kononnya ada membuat masalah ketika menyampaikan bantuan ke Gaza sehingga memalukan Malaysia.
Kemudian disusuli pula dengan pendedahan dari saudara Nadir al-Nuri iaitu rakyat Malaysia yang tinggal di Semenanjung Gaza tentang layanan dari Ustaz Ebit serta pasukannya terhadap beliau.
Malah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia ini turut mempersoalkan kaedah sumbangan Ustaz Ebit serta proses dan prosedur yang betul untuk mana-mana NGO menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin.
Kesan dari pendedahan tersebut, maka ramai di kalangan pengikut mereka serta sebahagian rakyat Malaysia yang tidak mengetahui cerita sebenar mula menuduh Ustaz Ebit Liew dengan pelbagai gelaran.
Menurut pengakuan Ustaz Ebit melalui instagramnya, beliau bukan sahaja dituduh sebagai penipu malah turut digelar dengan gelaran yang sangat buruk seperti penunggang agama, dajal, khinzir, syaitan dan banyak lagi gelaran. Malah kesannya bukan pada dirinya sahaja, tetapi turut melibatkan anak dan isteri.
Akhirnya melalui penjelasan dari Ustaz Ebit Liew sendiri mendedahkan segala tuduhan tersebut sememangnya tidak berasas. Malah Ustaz Ebit turut membuat laporan polis dan akan menyaman mereka yang memfitnahnya.
Inilah bahananya jika kita suka berprasangka buruk kepada seseorang. Sedangkan sikap dan perbuatan ini sangat dihina dan dicela dalam Islam.
Menurut Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Fariza Md. Sham, bersangka buruk merupakan suatu perbuatan yang diharamkan dalam Islam sebagaimana haramnya melemparkan kata-kata keji.
Sebagaimana haram seseorang itu mengucapkan perihal keburukan-keburukan orang dengan lidah, maka begitu jugalah dilarang dalam mengucapkan keburukan-keburukannya di dalam hati ataupun menyangka buruk terhadapnya.
Apa yang dimaksudkan dengan bersangka buruk itu ialah sesuatu yang disimpulkan oleh hati, kemudian dilemparkan ke atas orang lain menerusi sangkaan yang buruk.
Manusia dilahirkan ke dunia ini dengan anugerah pelbagai perasaan. Dalam menyusuri denai-denai kehidupan, manusia itu tidak akan terlepas daripada bergaul dengan manusia yang lain. Berkenalan, berhubung dan seterusnya bersahabat menjadi salah satu rencah dalam kehidupan.

Kadangkala, dalam pergaulan seharian dengan insan lain juga menyebabkan timbulnya pelbagai perasaan dalam diri. Kegembiraan, kesedihan, kekecewaan, kemarahan dan ketenangan, datang dan pergi silih berganti. Tiada manusia yang boleh hidup tanpa orang lain dan tiada manusia yang hidup tanpa perasaan.
Ekoran dengan itulah perasaan sangka buruk turut timbul apabila sesuatu yang agak pelik berlaku di hadapan kita. Namun begitu, tidak sepatutnya apa yang terjadi terus kita meletakkan kesalahan sesuka hati.
Tetapi apa sahaja yang terlintas di dalam hati atau hanya terdetik di hati sahaja ia tidak menjadi buruk sangka kerana tidak diluahkan.
Sangka buruk punca fitnah
Allah S.W.T. mengharamkan sikap buruk sangka terhadap sesama mukmin, kerana ia akan menyebabkan timbulnya fitnah, bukan sahaja di antara seseorang individu dengan individu yang lain tetapi juga dalam anggota masyarakat.
Apabila sikap terkutuk ini terdapat di kalangan anggota masyarakat ia boleh mewujudkan perasaan saling tidak percaya, saling meragui, benci-membenci, pertelingkahan, perpecahan dan akhirnya bermusuh-musuhan di antara sesama Islam.
Malah Allah S.W.T. turut mengharamkan hamba-Nya yang beriman dari menyimpan perasaan persangkaan atau sangka-sangka buruk terhadap Allah S.W.T. dan terhadap saudara-saudaranya yang seagama.
Termasuk juga segala unsur, bibit atau segala punca yang boleh menyebabkan timbulnya rasa buruk sangka di kalangan anggota masyarakat. Pengharaman ini telah ditegaskan di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12,
“Hai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesunguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Sebagaimana yang diterangkan dalam ayat tersebut, segala rahsia-rahsia hati tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah S.W.T. yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.
Oleh yang demikian tidak wajar sekiranya seseorang itu meletakkan prasangka buruk melainkan ia terjadi di hadapan mata sendiri tanpa perantaraan orang lain. Ia sesuatu yang tidak pasti dan hanya terlintas di hati.
Dalam hal ini ramai yang keliru untuk meletakkan prasangka dengan menyelidik sesuatu yang berlaku. Prasangka sepatutnya tidak wujud sebelum sesuatu fakta dikemukakan.
Inilah budaya masyarakat kita
Walau bagaimanapun ia tidak berlaku dalam masyarakat kita. Kita lebih sedia membuat sangkaan buruk terlebih dahulu sebelum hukuman dijatuhkan oleh pihak yang berwajib.
Apa sahaja yang dilakukan oleh orang lain serba tidak kena pada mata kita. Ini mungkin hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman dan dendam. Misalnya apabila seseorang rakan dinaikkan pangkat dan gaji, pastinya ada cakap-cakap belakang yang menyebarkan sangkaan buruk ke atas kelebihan yang diperolehi.
Sikap seperti ini sudah pasti akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dan mewujudkan huru-hara dalam masyarakat dan negara. Islam tidak sekali-kali membenarkan sikap prasangka terhadap sesuatu itu tanpa adanya bukti-bukti yang sahih.
Kalau adapun bukti-bukti yang sahih, Islam masih melarang untuk memperkatakan sesuatu yang benar itu kerana ia mungkin melibatkan keaiban seseorang itu yang boleh menjatuhkan maruahnya.
Prasangka tidak boleh berlaku walau apa jua keadaan sekalipun. Dalam Islam, orang kulit putih tidak boleh berprasangka kepada kulit hitam atau sebaliknya, orang Islam tidak boleh berprasangka kepada orang bukan Islam dan sebagainya.
Pendek kata, Islam mahukan kita sentiasa bersangka baik antara satu sama lain tidak kira darjat, keturunan, warna kulit dan sebagainya. Wallahu a’lam
_______________________________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

