prasangka membuka pintu syaitan

Apabila timbul prasangka buruk, itulah sebahagian pintu masuk syaitan ke dalam hati setiap mukmin selain laluan-laun lain yang tidak terkira banyaknya. Tidak ada sifat tercela pada diri manusia melainkan menjadi senjata syaitan dan salah satu pintu masuknya. Lantas, bagaimana pula cara untuk menutup pintu syaitan tersebut? Adakah cukup sekadar zikrullah?

Walaupun prasangka tidak dapat dipisahkan dalam diri manusia, tetapi kita boleh mengurangkannya melalui beberapa amalan positif.

Islam menganjurkan supaya kita sentiasa bersangka baik sekalipun terdapat keburukan pada seseorang itu atau mungkin terhadap musuh kita. Sangkaan baik ini amat penting sekali untuk mengelakkan salah faham dan ketegangan daripada berlaku.

Oleh yang demikian, sebagai seorang Islam, wajib untuk kita menghindari prasangka buruk dan menuduh orang-orang jahat kerana orang jahat tidak berprasangka kepada semua orang kecuali dengan prasangka buruk. Dan jalan untuk menutup pintu-pintu syaitan ini juga adalah melalui pembersihan hati dari sifat-sifat tercela.

Apabila hati berjaya dibersihkan, syaitan tetap memiliki pelbagai lagi jalan untuk melintasi hati kita. Namun, syaitan tidak mampu untuk menetap dengan aman di dalam hati kita. Lintasan syaitan itu sememangnya mampu dihalang dengan zikrullah kerana hakikat zikir itu akan lebih mujarab sekiranya disuburkan lagi dengan sifat takwa.

Jika tidak, zikir tersebut hanyalah semata-mata menjadi bacaan yang tidak mempunyai sebarang kekuatan dan ia tidak mampu mengusir syaitan keluar dari hati kita.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-A’raf: 201,

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).”

Masih ingatkan kita pada kisah yang terjadi kepada Lukman Al-Hakim, anaknya dan seekor keldai yang boleh dijadikan pengajaran kepada kita?

Kisahnya begini, ianya bermula apabila si bapa mempelawa anaknya menaiki keldai dan bapanya pula berjalan kaki bersama-sama keldai. Apabila mereka masuk ke sebuah kampung, terdapat segelintir penduduk  kampung yang berprasangka dan mengejek si anak kerana membiarkan bapanya berjalan kaki sedangkan sepatutnya bapa yang menaiki keldai. Si anak juga bersetuju dengan ejekan itu dan menyuruh bapanya menaiki keldai tersebut.

Kisah Lukman al-Hakim, anaknya dan seekor keldai menunjukkan betapa prasangka adalah salah satu sifat semulajadi dalam diri manusia.

Keadaan yang sama berlaku bila mereka masuk ke kampung yang lain, penduduk kampung berprasangka dan mengejek si bapa kerana membiarkan si anak berjalan. Selepas itu, kedua-dua beranak ini berjalan kaki bersama-sama keldai tanpa menaikinya.

Mereka masuk ke kampung yang lain. sekali lagi mereka dikatakan bodoh kerana tidak menunggang keldai tersebut. Maka kedua-dua beranak itu pun menaiki keldai dan masuk ke satu kampung lain.

Mereka seterusnya menerima lagi ejekan kerana dikatakan tidak berhati perut kerana bersikap zalim terhadap keldai itu. Akhirnya, setelah memikirkan celaan itu, mereka pun memikul keldai itu supaya ia dapat berehat.

Sekali lagi mereka dikatakan bertindak bodoh kerana tidak menunggang keldai tersebut. Pendek kata apa yang cuba dibuat untuk memperbaiki keadaan semuanya salah belaka.

Berdasarkan kisah yang terjadi kepada Lukman al-Hakim juga menunjukkan manusia sememangnya sukar untuk membuang sikap bersangka buruk kepada sesama manusia.

Inilah sikap prasangka yang sepatutnya dihindarkan. Sebelum berprasangka sedemikian rupa, mereka sepatutnya cuba bertanya, cuba mendekati dan cuba menyelidiki sesuatu itu sebelum sesuatu kenyataan itu dikeluarkan terhadap seseorang. Ini bertujuan supaya tidak ada salah tanggap atau prasangka berlaku.

Selain itu, didiklah hati untuk sentiasa berbuat baik dan memikirkan positif kepada orang lain. Rasulullah juga pernah ditanya oleh seorang badwi iaitu

“Aku mahu menjadi orang yang paling baik”.

Berfikir positif dan bersangka baik adalah cara menutup pintu prasangka

Baginda menjawab, “Berbuat baiklah kepada orang lain, nescaya kamu akan menjadi orang yang paling baik.”

Justeru itu, amatlah penting sekali kita sentiasa bersangka baik terhadap seseorang. Kalaupun mungkin prasangka buruk terdetik di hati, cuba cepat-cepat memadamkannya.

Kalau ternyata seseorang itu baik dan berkualiti, cuba amalkan sikap untuk mengakui akan kelebihan orang lain. Kalaupun seseorang itu mungkin lebih kaya atau lebih baik daripada kita sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan bukannya dengan berprasangka yang boleh membawa kepada unsur-unsur fitnah dan berbagai lagi implikasi negatif.

Artikel berkaitan: gara-gara isu caprice dengan ustaz ebit akhirnya masyarakat kita menjadi hina

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram