TAKAFUL Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) menerusi anak syarikatnya, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (STMAB) telah bekerjasama dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Kerjasama tersebut adalah dengan memperkenalkan pelan kemalangan diri yang berpatutan secara eksklusif kepada pelanggan LPPSA dikenali sebagai Takaful myProtect PA.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata, Takaful myProtect PA kepada pelanggan LPPSA merupakan satu lagi mercu tanda terhadap hubungan kerjasama yang telah lama terjalin.

Kata beliau, Takaful Malaysia merupakan satu daripada panel insurans untuk LPPSA yang menawarkan Takaful Gadaijanji (MRTT) untuk pembiayaan rumah kepada kakitangan di sektor awam.

“Tawaran Takaful myProtect PA melalui Program i-Prihatin LPPSA ini adalah bukti komitmen berterusan kami dalam menyediakan penyelesaian insurans.

“Ia adalah untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan LPPSA dan tambah nilai pada produk serta perkhidmatan yang kami tawarkan,” katanya dalam kenyataan.

Takaful myProtect PA menyediakan perlindungan kemalangan diri secara menyeluruh sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan, keilatan menyeluruh atau separuh dan kekal sehingga RM100,000.

Baca artikel berkaitan: “Jika cash flow OK dan kau handal “money make money”…” – Ex-banker beri pandangan soal moratorium

Pelanggan LPPSA layak untuk memohon pelan perlindungan tambahan dengan sumbangan berpatutan pada hanya RM100 setahun serta menerima pelbagai manfaat dan perlindungan termasuk perlindungan tambahan untuk kematian akibat kemalangan atau keilatan menyeluruh dan kekal akibat kemalangan semasa melancong ke luar negara atau dalam pengangkutan awam.

Selain itu, Takaful myProtect PA juga memberikan manfaat dan perlindungan lain seperti badal haji, perbelanjaan perubatan dan bayaran ambulans, perbelanjaan pengebumian, elaun kecederaan akibat diragut, kehilangan akibat rompakan ATM, elaun penyembuhan denggi dan pendapatan harian hospital akibat kemalangan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Mohd. Farid Nawawi berkata, kerjasama bersama panel insurans melalui program i-Prihatin berfungsi sebagai sebahagian tanggungjawab dalam menyediakan produk yang dapat memenuhi keperluan pelanggan dalam situasi sukar.

Beliau berkata, kerjasama seperti itu juga membantu untuk mengenal pasti dan menjangka keperluan perlindungan pelanggan.

“Produk ini ditawarkan secara pilihan untuk pemegang akaun sedia ada LPPSA yang aktif dan memberikan perlindungan serta manfaat tambahan selain daripada perlindungan yang diberikan daripada MRTA/MRTT sedia ada yang termasuk dalam pembiayaan.

“Kami percaya bahawa peningkatan tambahan dalam perlindungan kemalangan peribadi akan menenangkan fikiran dan memberi jaminan kewangan kepada pelanggan LPPSA apabila diperlukan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram