SEBANYAK RM230 juta akan diperuntukkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi pelaksanaan produk-produk baharu Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM).

Peruntukan bagi pelaksanaan lima produk yang dicadangkan itu dalam usaha meningkatkan promosi pembiayaan TMPSKM.

Lima produk berkenaan adalah Pembiayaan Koperasi Mikro (MicCoopFi-1); Pembiayaan Lestari (LesFi-1); Pembiayaan Permulaan (SuFi-1), Pembiayaan 100 Koperasi Terbaik (Best100Fi-1) dan Pembiayaan Pembayar Yang Baik (GPMFi-1).

Kesemua produk tersebut dijangka bakal memberi manfaat kepada hampir 6.5 juta individu yang merupakan ahli kepada 14,629 koperasi seluruh negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelancaran produk-produk baharu itu diharapkan mampu membantu koperasi membiayai projek berdaya maju.

Kata beliau, ia termasuk daripada kluster mikro sehingga kluster besar bagi mendapat manfaat daripada dana TMPSKM yang disediakan kerajaan.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sentiasa prihatin dalam memastikan ekosistem sektor koperasi negara sentiasa konsisten dan pada masa sama membantu meringankan beban kewangan koperasi yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: SKM terima 493 permohonan koperasi untuk beroperasi ketika PKP

Kelima-lima produk berkenaan diperkenalkan sempena Sambutan Hari Koperasi Negara yang bertemakan Rebuild Better Together semalam.

Pelaksanaan produk baharu itu adalah mengikut sasaran koperasi yang berbeza dengan merujuk kepada tujuan di mana MicCoopFi-1 menyediakan kemudahan pembiayaan mudah kepada koperasi bagi klusteri mikro untuk menjalankan aktiviti baharu atau modal pusingan bagi aktiviti sedia ada.

Pembiayaan Lestari pula menyediakan kemudahan pembiayaan dalam bentuk modal pusingan bagi koperasi yang telah terpilih di bawah Program Desa Lestari di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Pembiayaan Permulaan menyediakan kemudahan pembiayaan kepada koperasi baharu bagi membiayai projek yang berpotensi atau berdaya maju.

Sementara itu, Pembiayaan 100 Koperasi Terbaik pula menyediakan kemudahan atau insentif pembiayaan kepada 100 koperasi terbaik tahun lalu.

GPMFi-1 pula bertujuan menyediakan insentif pembiayaan kepada koperasi yang mempunyai rekod pembiayaan yang baik dengan pihak SKM.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram