tidak haus ketika tidur

Perasan atau tidak, dalam satu malam berapa kerap anda bangun tidur semata untuk minum air? Sekali, dua kali atau lebih dari tiga kali?

Usah terperanjat kalau ada yang mengatakan, mereka tidak pernah bangun ketika tidur untuk minum air. Dengan kata lain, jarang sekali berlaku simptom dahaga ketika tidur khususnya bagi manusia yang normal dan sihat.

Begitulah hebatnya ciptaan Allah apabila kejadian malam untuk manusia diberikan  sepenuhnya untuk berehat tanpa diganggu oleh keadaan-keadaan tertentu.   

Bayangkan pula, jika dalam satu malam, kita terpaksa bangun berkali-kali kerana tekak  merasa dahaga? Pasti anda akan merasa letih apabila bangun keesokan harinya. Tapi Allah tidak menjadikannya begitu.

Ternyata ciptaan Allah cukup sempurna kerana Allah Maha Mengetahui bahawa manusia memerlukan masa rehat yang cukup untuk kembali segar. Lantas, tidak hairanlah walau anda masuk tidur jam 10 malam dan bangun jam 6 pagi keesokannya, anda tidak akan merasa dahaga. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?  

Dr. Rajbans Singh, Perunding Perubatan dan Geriatik, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), ada jawapannya. Ujarnya, terdapat mekanisme yang mengawal air dengan cara mengaktifkan sel yang berfungsi melepaskan hormon vasopresin yang dimiliki oleh setiap manusia.

Pengeluaran hormon vasopresin yang tinggi ketika tidur, sekali gus membantu mengawal otak agar tidak merasa haus atau dahaga. Sekaligus turut mengawal rasa hendak terkencing ketika tidur. Keadaan ini menyebabkan tubuh sentiasa memiliki air yang cukup ketika tidur.Lantaran itu, Dr. Rajbans Singh mengingatkan,

“Masa yang terbaik bagi seseorang untuk minum air ialah sebelum berasa dahaga.”

Namun tidak bagi orang yang mempunyai penyakit seperti kencing manis dan buah pinggang, mereka tidak dapat mengawal hormon tersebut untuk berfungsi dengan baik. Hal yang demikian memerlukan mereka menambah air untuk menggantikan kembali air yang telah dikeluarkan.

Air juga merupakan bahan pelarut yang berfungsi mempergiatkan sistem penghadaman atau meningkatkan kadar pencernaan, supaya menyerap zat-zat dari makanan dengan sempurna. Ia juga menjadi pengangkutan yang mengekalkan kenormalan sistem pengedaran dan pembuangan dalam badan serta membantu mengumuhkan bahan toksin dan bahan asid dari badan.

Para pengkaji percaya kadar air yang rendah akan merangsang kelompok sel yang disebut sebagai neuron osmosensery. Sel tersebut berfungsi mengalirkan nueron lain untuk melepaskan hormon vesopresin ke dalam aliran darah.

Oleh sebab itu hormon vasopresin akan meningkat ketika tidur sekaligus menyebabkan manusia tidak merasa haus.

Fungsi hormon vasopresin pada otak

Hormon vasopresin pada dasarnya dibebaskan dari neuron  melalui peredaran darah dan bertindak pada buah pinggang sebagai anti-diuretik apabila plasma darah menjadi lebih pekat. Sebaliknya, pengkaji mendapati, neuron melepaskan hormon vasopresin ke dalam otak, bukan di dalam darah, apabila cecair badan menjadi lebih cair dari biasa.

Biasanya, apabila cecair dalam badan lebih cair, maka sel neuron akan lebih membengkak. Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan oleh satu pasukan penyelidikan Jepun yang diketuai oleh Profesor Yasunobu Okada, Ketua Pengarah Institut untuk fisiologi Sains (NIPS), dan Cik Kaori Sato, pelajar siswazah Universiti Siswazah Pengajian Lanjutan mendapati apabila  hormon vesoprosin bertindak dalam otak, saiz neuron tetap kekal  walaupun bendalir badan menjadi lebih cair.  

Ini membuktikan hormon vesopresin yang sebelum ini hanya dianggap berfungsi di dalam buah pinggang turut berfungsi di dalam otak.

Apa pun, jumlah air yang hilang sebagai keringat adalah berbeza-beza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Hal ini bergantung juga pada suasana sekitar, tahap kegiatan, dan saiz badan.

Betapa sayangnya Allah kepada hamba Nya hingga memberikan kerehatan yang cukup saat tidur tanpa diganggu dengan rasa haus walaupun tidur lebih 10 jam.

Dalam kegiatan biasa, manusia mengeluarkan kira-kira 500-600 ml peluh sehari. Input air perlulah sekurang-kurangnya sama dengan output air yang dikeluarkan oleh badan.

Orang dewasa biasanya akan memerlukan air antara lapan sehingga 12 gelas dalam sehari. Jumlah air yang diperlukan oleh kanak-kanak pula bergantung pada umur, berat, dan kegiatan fizikal mereka.

Oleh sebab saiz tubuh mereka kecil, mereka akan mengalami penghidratan yang lebih cepat. Selain itu, keperluan air dalam badan akan meningkat sekiranya kita banyak menghabiskan masa di luar rumah dalam cuaca panas, kerap bersenam, atau berada dalam bilik yang berhawa dingin.

Air membentuk kira-kira 55-57 peratus dari berat badan kita dan mempunyai peranan yang penting dalam hampir setiap fungsi utama badan. Air berperanan melaraskan suhu badan di samping membawa nutrien dan oksigen ke sel, serta menghapuskan sisa.

Air turut melindungi sendi serta mengawal organ dan tisu. Tanpa makanan, manusia dapat hidup selama lapan minggu, tetapi tanpa air manusia akan mati dalam masa tiga hari.

Kita memperoleh air daripada cecair seperti air paip, susu, jus buah-buahan, kordial, minuman ringan dan sup. Makanan seperti nasi, roti, mi, buah-buahan, dan sayur-sayuran turut mempunyai sedikit air walaupun tidak cukup untuk memenuhi keperluan cecair kita,” terang Dr. Rajbans.

Banyakkan minum air mineral

Tidak ramai yang tahu bahawa  setiap yang dimakan mempunyai kesan yang drastik pada badan dan pH badan. Apatah lagi sesetengah makanan yang diambil berasid manakala sesetengahnya pula beralkali. Kesemuanya itu akan meninggalkan kumuhan berasid, melainkan dibilas keluar dengan air alkali, ia akan bertambah sebagai deposit.

Ujar Dr. Rajbans Singh, hanya dengan meminum lapan gelas air alkali setiap hari bukan sahaja membantu penghadaman, tetapi juga membantu menyingkirkan toksin yang terkumpul dalam usus yang juga penyebab penyakit.

Air yang cukup sangat penting untuk keperluan tubuh.

Seperti sungai yang memerlukan air mengalir, begitu juga usus. Lebih banyak air yang diserap maka lebih banyaklah toksin yang dineutralkan dan lebih banyak toksin yang dibuang dari sistem badan. Kesihatan yang sempurna bermula dari usus yang bersih dan pembersihan bermula dengan air alkali. 

Air keperluan badan

Seperti yang diketahui, 90 peratus tubuh manusia terdiri dari air. Amat penting untuk memberikan tubuh dengan air mineral yang berkualiti sesuai dengan keperluan sel-sel dalam tubuh.

Air juga diperlukan oleh haiwan atau pun tumbuhan. Air juga hidup. Ia mampu bereaksi terhadap sekelilingnya apatah lagi sistem tubuh badan.  

Air tulen yang bersih biasanya mempunyai tenaga, atas izin Allah S.W.T . Air tulen bersih bertenaga mampu menjadi penawar atau terapi penyembuhan segala jenis penyakit yang ringan mahu pun berat atau penyakit-penyakit kronik.

Ia juga dapat membantu proses pembesaran tumbuhan dan haiwan dengan lebih cepat dan baik. Selain itu turut membantu agar tubuh boleh kembali berfungsi normal dengan kemampuan memperbaiki sendiri bahagian-bahagian tubuh yang terkena berbagai gangguan. Wallahu a’lam

______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram