TEMPOH 1 tahun, 4 bulan dan 6 hari bukanlah satu tempoh yang pendek, dalam jangka masa itu pelbagai cabaran harus ditempuh jika kita diberikan sesuatu tanggungjawab apatah lagi jika ia melibatkan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

Namun itulah cabaran yang ditempuh oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepanjang menggalas tugas sebagai Menteri Kanan Kluster Keselamatan. Melaksanakan peranan bagi menyampaikan apa juga keputusan yang dicapai dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiap hari bukanlah mudah.

Ada kalanya pengumuman disukai dan adakala cacian diterima, namun Ismail Sabri yang kini dilantik Timbalan Perdana Menteri tetap tabah menghadapi semua cabaran dan dugaan itu.

Tidak pernah ada rasa kesal dan tidak pernah ada rasa kecewa apatah lagi rasa sedih.

Sebagai seorang pemimpin dan sudah berpuluh tahun bergelumang dalam politik, Ismail Sabri sudah menganggap apa yang dilalui adalah asam garam kehidupan yang beliau pilih.

Namun apa yang pasti sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Kluster Keselamatan merangkap Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri sentiasa sahaja berusaha mengetengahkan pelbagai isu rakyat dalam mesyuarat berkenaan.

Reaksi netizen, keluhan rakyat dan rintihan insan-insan kerdil di dalam Facebook atau media sosial sering menjadi panduan untuk beliau memperjuangkan golongan itu.

Dalam wawancara bersama Bernama pada 12 Jun 2020 kira-kira tiga bulan negara melaksanakan PKP, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, ‘’ Benar, saya percaya memang pandangan daripada rakyat membantu memperkasa dan mempermudahkan kerja-kerja yang saya lakukan. Ini kerana mereka terlibat secara langsung, mereka berada di akar umbi, apa yang kita putuskan (disampaikan) terus kepada diri mereka.

‘’Kalau ada isu yang mereka tak puas hati mereka beritahu saya, sebenarnya itu melalui pengalaman mereka, mereka beri pandangan macam mana (untuk) tingkatkan (SOP), sebab itu saya catatkan dan kita akan bincang dalam mesyuarat khas menteri-menteri. Banyak yang saya bawa dalam mesyuarat dan saya akan kata ini adalah pandangan daripada rakyat di akar umbi.’’

Kenyataan beliau paling terkesan ialah pada Februari lalu ketika pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri mahu kerajaan mengadakan total lockdown. Ketika itu sudah pasti Ismail Sabri berada dalam keadaan ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’.

Bayangkan pemimpin parti beliau sendiri membuat desakan tetapi pada masa sama Ismail Sabri amat memahami kesan besar yang akan dialami oleh rakyat bawahan khususnya peniaga kecil.

“Saya banyak terima (mesej) WhatsApp daripada peniaga-peniaga kecil dan peniaga tepi jalan yang mengadu keadaan mereka begitu susah sekiranya mereka tidak dibenarkan berniaga dalam tempoh PKP.

“Ada yang saya terima mengatakan wang simpanan mereka telah habis digunakan untuk menyara keluarga. Walaupun kami membenarkan peniaga membuka warung makanan secara bungkus tetapi pendapatan mereka menyusut 50 peratus.’’

Itulah kata-kata beliau yang menyentuh hati banyak pihak khususnya rakyat. Atas sebab itulah Ismail Sabri mempertahankan pendiriannya dan kerajaan tidak mahu mengadakan total lockdown yang pastinya akan menyebabkan ramai kehilangan punca pendapatan.

Masihkah kita ingat bagaimana Ismail Sabri menegaskan, kerajaan mengutamakan kesihatan rakyat, namun pada masa sama perlu menjaga kepentingan ekonomi rakyat terutamanya golongan B40.

“Kita tidak mahu rakyat kita mati kerana Covid-19 tetapi kita juga tidak mahu rakyat kita menderita tidak makan kerana tidak ada pendapatan untuk sara keluarga.

“Cuba bayangkan kalau warung atau kedai makan mereka ditutup terus untuk tempoh dua minggu dan dua minggu akan datang? Sudah tentu ini akan beri impak besar kepada mereka kerana mereka hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

Walaupun keputusan kerajaan tidak mengadakan total lockdown terus menyebabkan Ismail Sabri menerima tempiasnya berikutan kecaman sesetengah pihak namun Naib Presiden UMNO itu tidak  mempedulikannya kerana beliau pernah menegaskan;

“Sewaktu PKP 1.0, terdapat banyak kes melibatkan masalah mental. Kes bunuh diri banyak berlaku cuma kita tak hebohkan perkara ini. Inilah yang kita nak jaga rakyat kita supaya jangan terlalu menderita… walau kita nak selamatkan nyawa tapi ada rakyat menderita.’’

Malah beliau juga tegas menyatakan, pelaksanaan lockdown secara menyeluruh akan memberi kesan sangat besar kepada golongan miskin yang rata-ratanya bergantung kepada pendapatan harian.

“Peniaga kecil, mereka bergantung hidup secara harian daripada perniagaan yang dilaksanakan. Kalau tutup lagi, mereka tiada pendapatan harian. Kita lihat paparan di media sosial, ada keluarga makan nasi dengan air garam. Ini real berlaku dalam golongan miskin dan B40. Sebab itu kita berpandangan perkara ini kena ambil kira.

“Ada kata kenapa tak tutup kilang atau syarikat besar. Kesannya bukan kepada tuan punya syarikat saja tapi kepada pekerja-pekerja. Sebelum ini 800,000 hilang pekerjaan. Hilang pekerjaan bermakna tiada pendapatan. Bagaimana rakyat nak survive? Sebab itu kita tak buat total lockdown tapi ketatkan SOP,” jelasnya panjang lebar.

Namun begitu pada 2 Jun lalu, gambar beliau menutup pintu yang dimuatnaikkan dalam Facebooknya menarik perhatian ramai apatah lagi ia diiringi dengan kata-kata,’’Saya dah tutup pintu depan tapi…’’. Ketika itu semua tahu ia ada kaitan dengan operasi kilang-kilang.

Ismail Sabri dikatakan bertegas mahu kilang ditutup memandangkan ia boleh menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 dan ketegasan itu dilihat bertentangan dengan kehendak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang mahu kilang dibenarkan beroperasi.

Pada 1 Julai lalu, Menteri Pertahanan itu sekali lagi menjadi perhatian netizen memuatkan naik gambar beliau merenung bandar raya Kuala Lumpur dari pejabatnya di Kementerian Pertahanan dengan catatan;

‘’Sejauh mana pandangan, yang dekat di hati tetaplah semua rakyat Malaysia. Sepenting mana ekonomi negara, nyawa dan keselamatan rakyat harus diutamakan. Kerana itu hari ini saya umumkan PKPD di sebahagian mukim-mukim Selangor dan beberapa lokaliti di WPKL. Dengan PKPD tersebut aktiviti ekonomi tidak dibenarkan termasuk penutupan kilang-kilang.’’

Ketegasan Ismail Sabri dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat sepanjang menggalas tugas sebagai Menteri Kanan Kluster Keselamatan tidak pernah luntur sehinggalah beliau dibebaskan daripada jawatan itu berikutan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jangan lupa empat hari sebelum beliau melepaskan tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Kluster Keselamatan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ismail Sabri tetap terus mengetengahkan isu rakyat seperti mana catatan dalam Facebook beliau pada 22 Julai lalu.

Antara lain beliau berkata,;

‘’ Melihat kepada komen-komen yang diberikan netizen di media sosial, saya dapati ramai yang menyuarakan keluhan pasangan jarak jauh atau ibu bapa yang terpisah daripada anak-anak kerana larangan merentas negeri.

‘’Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia. Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama. Lebih-lebih lagi jika ibubapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin.

‘’Oleh sebab itu saya sering membawa isu ini dalam mesyuarat MKN, supaya kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin. InsyaAllah, kerajaan sedang memperhalusi cadangan ini bagi membolehkan pasangan & keluarga jarak jauh disatukan semula.’’

Apapun pada 26 Julai lalu, Ismail Sabri mengakhiri tugasnya sebagai Menteri Kanan Kluster Keselamatan, beliau sudah melakukan yang terbaik. Sudah tentu setiap menteri ada cara dan pendekatan tersendiri tetapi yang pasti mereka mempunyai misi sama iaitu demi rakyat dan negara.

Itulah yang dilakukan oleh “Pak Long’ dan kini sebagai Timbalan Perdana Menteri pastinya komitmen serta perjuangan beliau membela rakyat akan berterusan. Memetik salah satu kata-kata beliau dalam Facebooknya,’’Semangat anda semua penduduk Bera dan rakyat Malaysia merupakan pembakar sebenar semangat  saya terus berjuang.’’