KADAR pemberian vaksin seluruh negara menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus meningkat dari hari ke hari.

Sehingga semalam, secara keseluruhan lebih 21 juta dos vaksin telah pun diberikan sejak PICK bermula penghujung Februari lalu.

Jumlah lebih 21 juta dos atau lebih tepat 21.200 juta itu selepas mengambil kira sepenuhnya pelaporan manual termasuk daripada program jangkauan luar komuniti yang dijalankan seluruh negara.

Namun begitu, pemberian dicatatkan semalam mencatatkan sedikit penurunan di bawah angka 500,000.

Selepas enam hari merekodkan kadar melebihi setengah juta, pemberian vaksin mencatatkan sebanyak 480,122 dos semalam.

Pemberian tersebut merangkumi 298,236 bagi dos pertama dan 181,886 lagi untuk suntikan kedua vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, seramai 14.247 juta individu atau 43.6 peratus populasi telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Kata beliau, jumlah tersebut turut melibatkan 60.9 peratus populasi dewasa.

Dr. Adham memaklumkan, daripada jumlah keseluruhan, sebanyak 6.952 juta atau 21.3 peratus populasi pula telah melengkapkan dua suntikan vaksin.

Baca artikel berkaitan: 6 hari berturut-turut kadar vaksinasi lebih 500,000 sehari

Bagi dua dos vaksin, Dr. Adham memaklumkan, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 2.311 juta atau 27.4 peratus populasi.

Beliau berkata, ia diikuti liputan 1.341 juta (47.6 peratus populasi) di Sarawak; 474,013 (18.9 peratus populasi) di Perak; 458,476 (12.1 peratus populasi) di Johor; dan sebanyak 402,675 (10.3 peratus populasi) di Sabah.

Menurut Dr. Adham, Kedah menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 305,817 individu melengkapkan dua dos diikuti Pulau Pinang (305,357) dan 304,864 di Negeri Sembilan.

“Seterusnya, Pahang berjumlah 263,830; Kelantan telah mencatatkan 253,245 lengkap dos kedua dan 215,311 di Terengganu.

“Di Melaka pula, sebanyak 182,995 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 77,300 di Perlis dan 55,809 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 5.961 juta.

Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Sarawak menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 1.728 juta individu.

Ia diikuti Johor 1.146 juta; Sabah (874,834); Pulau Pinang (768,912) dan Perak (767,755).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram