PARTI Rakyat India Malaysia (MIPP) akan membuat sebarang keputusan berkaitan hala tuju politik parti itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung MIPP, N Sathes Kumar memaklumkan, ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat MIPP yang berlangsung petang semalam.
Menurut Sathes Kumar, MIPP yang merupakan satu daripada parti komponen PN telah membincangkan secara mendalam tentang senario politik semasa negara termasuk pelbagai bentuk penglibatan dan perbincangan yang telah diadakan dengan beberapa parti politik.
Beliau berkata, perbincangan tersebut berlaku dalam suasana ketidaktentuan politik yang memerlukan semua pihak menilai pelbagai pilihan demi menjamin kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
“Jawatankuasa Pusat MIPP juga telah memberikan mandat penuh kepada Presiden MIPP (P Punithan) untuk meneruskan sebarang bentuk perbincangan dan libat urus serta hala tuju politik yang difikirkan sesuai.
“Ia demi kepentingan parti dan masyarakat India.
“MIPP percaya bahawa kestabilan politik, perpaduan rakyat serta pembangunan ekonomi negara hendaklah sentiasa menjadi keutamaan semua pihak.
“Parti akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat India dan rakyat Malaysia pada amnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Sathes Kumar berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Jelas beliau, MIPP telah mengenal pasti empat kerusi di Johor dan tiga di Negeri Sembilan untuk ditandingi.
Katanya, kesemua calon yang bakal diketengahkan juga merupakan pemimpin muda masyarakat India yang berwibawa serta berpotensi membawa suara generasi baharu.
Sathes Kumar berkata, jentera pilihan raya MIPP di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka juga telah digerakkan sepenuhnya dan kini giat menjalankan pelbagai program mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
“‘MIPP Goes Global’, MIPP akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah parti yang berpandangan global melalui penubuhan Jawatankuasa MIPP Antarabangsa.
“Pada masa ini, rangkaian kepimpinan dan penyokong MIPP telah bertapak di lebih daripada 60 bandar di 20 negara seluruh dunia sekali gus membuktikan penerimaan dan sokongan yang semakin berkembang terhadap perjuangan parti di peringkat antarabangsa.
“Jawatankuasa ini akan menyelaras penglibatan diaspora Malaysia serta memperkukuh jaringan strategik MIPP di peringkat global,” jelasnya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

