PERKHIDMATAN tren elektrik (ETS) kembali beroperasi selepas kerja-kerja baik pulih susulan kejadian alat talian atas (ATS) terputus di KM 458.872 antara Stesen Tiroi – Seremban.
Bagaimanapun, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan semalam memaklumkan, beberapa perkhidmatan ETS masih mengalami kesan kelewatan sementara.
Menurut KTMB, ia melibatkan laluan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral bagi membolehkan jadual operasi kembali distabilkan.
“Setakat pukul 3.30 petang semalam, perkhidmatan ETS yang dijangka mengalami kelewatan adalah seperti berikut; EX9573 mengalami kelewatan 3 jam 34 minit, EP9524 mengalami kelewatan 2 jam 35 minit, EP9326 mengalami kelewatan 1 jam 40 minit serta EP9428 turut mengalami kelewatan selama 25 minit.
“Selain itu, ETS bagi P9323 pula mengalami kelewatan 2 jam 11 minit, diikuti EG9343 yang mengalami kelewatan 1 jam 14 minit, EG9442 mengalami kelewatan 2 jam 51 minit dan EX9575 pula mengalami kelewatan satu jam,” katanya dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, KTMB memberitahu turut menyediakan makanan dan minuman ringan sebagai langkah kebajikan serta mengurangkan kesulitan dialami penumpang.
Katanya, penyediaan makanan dan minuman ringan itu diberi kepada penumpang bagi perkhidmatan ETS yang mengalami kelewatan melebihi dua jam.
KTMB menjelaskan, ia sebagai tanda penghargaan atas kesabaran dan kerjasama mereka sepanjang tempoh gangguan.
Pada masa sama, syarikat itu memberitahu, anggota polis bantuan bersama kakitangan operasi di Stesen Seremban turut membantu mengurus pergerakan penumpang serta menyalurkan maklumat terkini bagi memastikan kelancaran urusan penumpang yang terjejas.
“Bagi penumpang ETS yang terkesan dengan kelewatan tren melebihi dua jam dan memilih untuk tidak meneruskan perjalanan, mereka boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh di kaunter tiket.
“Sejurus gangguan dikenal pasti, KTMB telah menghantar notifikasi awal melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada penumpang yang terlibat bagi memaklumkan status perkhidmatan semasa serta jangkaan kelewatan tren supaya mereka dapat merancang perjalanan dengan lebih baik.
“KTMB kini sedang memantau rapat pergerakan tren bagi memastikan jadual operasi kembali pulih sepenuhnya dalam kadar segera,” jelasnya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

