PERSATUAN Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan membenarkan individu yang lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin Covid-19 merentas negeri bagi tujuan pelancongan domestik.
Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, dengan kebenaran tersebut, industri pelancongan negara akan kembali rancak selepas sekian lama terhenti akibat pandemik Covid-19.
Katanya, MATA amat berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang berusaha untuk memastikan semua pihak terbabit dalam sektor pelancongan supaya diberikan vaksinasi dengan kadar segera sebagai persediaan bagi pembukaan semula industri pelancongan.
“Kerajaan melalui Motac perlu memastikan imuniti kelompok dicapai di lokasi pelancongan terkenal tempatan bagi membolehkan pembukaan semula industri pelancongan.
“MATA menyaran agar kerajaan dapat meluaskan program imunisasi ke pulau peranginan lain supaya lebih banyak pihak yang terbabit dalam industri pelancongan dapat divaksinasikan secara besar-besaran.
“Pembukaan semula pelancongan domestik disifatkan penting untuk mengimbangi semula kerugian, sekali gus meningkatkan pendapatan masyarakat tempatan dalam bidang terbabit terutamanya membabitkan ahli kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, MATA memandang, program vaksinasi amat penting kepada barisan hadapan dalam bidang pelancongan seperti pekerja hotel, sektor penerbangan dan sub pelancongan seperti pekerja spa dan mereka terbabit dalam seni muzik.
Beliau berkata, MATA juga sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan Motac bagi memastikan semua ahlinya yang terjejas dibantu untuk bangun semula bagi membolehkan pembukaan industri pelancongan domestik.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

