AHLI Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan tetap akur dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam sidang akhbar yang diadakan secara berasingan, kedua-dua Ahli Parlimen itu juga menegaskan hanya menandatangani kehadiran perjumpaan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pagi tadi, bukannya menyatakan sokongan atau akuan bersumpah (SD).

Walau bagaimanapun, Noh mengakui kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi sah sehingga Parlimen bersidang bagi menentukan keabsahan Perdana Menteri, September depan.

Katanya, sebagai seorang Ahli Parlimen, beliau menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan menunggu Parlimen bersidang melainkan sekiranya ada keputusan lain berlaku.

Pada masa sama, Noh turut bersetuju bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu mengadakan perjumpaan untuk memberikan penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai keputusan parti untuk menarik sokongan kepada kerajaan.

“Saya nak tegaskan bahawa pendirian saya jelas bersetuju dan akur dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri yang akan dibuat dalam Sidang Parlimen nanti melainkan sebelum itu mungkin ada apa-apa titah Yang di-Pertuan Agong.

Baca artikel berkaitan: 31 Ahli Parlimen BN terus sokong PN, junjung titah Agong

“Saya ingin menafikan kalau ada dakwaan saya mudah dibeli atau pendirian flip-flop, sebagai pemimpin UMNO, saya nak tegaskan saya akur dan akan bersama dengan parti untuk menunaikan kehendak parti.

‘Saya menjadi Ahli Parlimen di Tanjong Karang bukan kerana Noh Omar tetapi kerana lambang BN dan jentera parti yang bekerja untuk saya, maka apa pun saya kena setuju dengan keputusan parti. Tanpa parti siapalah saya,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan UMNO Online.

Sementara itu, dalam sidang akhbar berasingan, Abdul Azeez menegaskan akan melaksanakan tanggungjawab di Parlimen nanti berdasarkan pendirian UMNO.

Kata beliau, selaku salah seorang MKT UMNO, beliau merupakan ahli parti yang setia kepada keputusan UMNO.

“Sebagai seorang ahli parti yang telah bertanding atas nama UMNO dan BN, tak mungkin saya mengkhianati arahan MKT UMNO. Tandatangan itu hanya kehadiran, itu sahaja.

“Buat masa ini, saya ingin memberi tumpuan penuh kepada rakyat Baling dalam usaha menangani pandemik.

“Saya juga berharap rakyat Baling tidak terkeliru dengan segala dakwaan dan dakyah yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab berkaitan kehadiran saya di perjumpaan dengan Ahli-Ahli Parlimen BN itu,” jelas beliau.

Terdahulu, seramai 31 Ahli Parlimen BN diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Menurut Ismail Sabri, 31 Ahli Parlimen yang telah menyatakan persetujuan dan sokongan itu termasuk Noh dan Abdul Azeez yang bersama-sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang akhbar penarikan sokongan kepada PN, Selasa lalu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram