SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar sektor swasta turut tampil bersama-sama menyumbang bantuan dalam usaha menangani pandemik Covid-19 di negeri ini.
Sultan Ibrahim bertitah, ketika ini kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat dengan bilangan jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital-hospital kerajaan di seluruh daerah turut meningkat.
Justeru Baginda bertitah, sumbangan wang tunai daripada sektor swasta penting untuk memastikan sistem kesihatan hospital-hospital di Johor terus dilengkapi dengan pelbagai peralatan perubatan untuk terus merawat pesakit Covid-19.
“Kita perlu menangani Covid-19 secara bersama dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan, saya berharap sektor swasta turut tampil dalam menghulurkan bantuan kewangan supaya peralatan-peralatan perubatan dapat disampaikan kepada hospital.
“Sumbangan boleh disampaikan kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor untuk pembelian barangan perubatan, manakala sumbangan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor akan digunakan untuk bantuan makanan kepada golongan memerlukan,” titah baginda menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda, hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menerima permohonan bantuan senarai peralatan perubatan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Johor untuk menangani pandemik berkenaan.
Antara keperluan itu termasuk katil, oxygen regulator (bull nose), oxygen regulator (pin index), oxygen flow meter, 10L cylinder medical oxygen gas/regulator/trolly, set tekanan darah tinggi dan sebagainya.
Selain itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi RM5 juta bagi membeli peralatan untuk keperluan hospital-hospital di negeri ini.
Sektor swasta yang ingin menyampaikan sumbangan boleh menghubungi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor di talian 07-2355252 atau Yayasan Sultan Ibrahim Johor di talian 07-3564848.
Sementara itu, Sultan Johor pada masa sama bertitah mana-mana rakyat di negeri ini yang memerlukan bantuan makanan boleh menghubungi Pejabat-Pejabat Daerah atau Pejabat Penghulu di kawasan masing-masing.
“Sejak April tahun lalu ribuan bantuan barangan keperluan makanan disampaikan kepada rakyat menerusi YSIJ di semua daerah,” titah Baginda.

