POLIS menahan dua lelaki selepas dipercayai cuba menghantar air ketum kepada rakan mereka yang sedang mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), di Bachok semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 18 dah 20 tahun itu ditahan pada 2 petang.
“Seorang anggota polis yang sedang bertugas di PKRC berkenaan melihat kedua-dua lelaki yang menaiki motosikal itu berada dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan mereka.
Baca artikel berkaitan: Kes curi telefon, abang polis pakai PPE pula jadi perhatian
“Pemeriksaan di dalam raga motosikal itu menemukan satu beg yang di dalamnya mengandungi satu kotak air minuman disyaki air ketum,” katanya hari ini.
Mohamad Ismail berkata saringan air kencing ke atas kedua-dua lelaki itu didapati negatif sebarang jenis dadah.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Polis akan turut menyiasat bagi mengesan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di dalam PKRC tersebut,” katanya.- BERNAMA
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

