PELAWAK Shuib Sepahtu mengaku dia merupakan antara orang yang tidak begitu percaya dengan keseriusan ancaman COVID-19 dan sering keluar rumah tanpa rasa takut akan dijangkiti virus tersebut.

Selain isterinya yang belum divaksin, Shuib mengakui atas sikapnya yang tidak memberi perhatian serius kepada penjagaan kesihatan menjadi antara penyebab isterinya diserang teruk oleh virus tersebut setelah dijangkiti.

Shuib berkata, pemergian isterinya, Siti Sarah Raisuddin banyak membawa pengajaran dan hikmah kepadanya, antaranya soal pengambilan vaksin serta kesihatan yang tidak dipedulikannya sebelum ini.

“Isteri saya belum divaksin… paru-paru dia almost penuh dengan virus COVID-19 sehingga menyebabkan sukar untuk proses oksigen dan organ badan dia tidak dapat berfungsi dengan baik. Doktor beritahu jika sudah ambil mungkin ia tidak akan seteruk ini.

“Ada nurse minta saya sampaikan agar dapat sedarkan rakyat Malaysia tentang (kepentingan) vaksin. COVID-19 ni bukan main-main.

“Kalau berpeluang ambil vaksin, pergilah ambil vaksin. Kematian akibat COVID-19 berlaku hari-hari. Apabila dah jadi macam ini, there is no u-turn,” katanya Ketika mengadakan Instagram live petang tadi.

“Saya tersentak sebab isteri belum divaksin. Wallahi, pada fikiran saya, isteri boleh kembali sihat dan sembuh, saya cukup yakin.

“Tapi bila berkomunikasi dengan doktor, dia kata paru-paru isteri awak penuh dengan COVID-19, ia tak boleh berfungsi. Di sinilah vaksin sepatutnya memainkan peranan,” katanya.

BERITA BERKAITAN [VIDEO] Jenazah Siti Sarah selamat dikebumikan

Katanya, COVID-19 ‘is real’ malah dia juga sebelum ini antara insan yang tidak pernah percaya mengenai kewujudan wabak berkenaan.

“Jika berpeluang untuk ambil vaksin, ambillah. Di saat kematian kita hadapi hari-hari. Kalau COVID-19 nak terjadi, sekelip mata ia boleh berlaku.

“Dulu saya tak berapa nak percaya, tapi bila dah kena batang hidung.

“Saya juga pernah bergaduh dengan isteri sebab tak takut keluar ke sana sini untuk berjumpa kawan atas urusan kerja. Dia ada beritahu risau jika terkena wabak,” katanya.

Siti Sarah meninggal dunia menjelang subuh hari ini selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat COVID-19.

Dalam sesi tersebut, Shuib turut memberitahu, keluarga mereka dipercayai dijangkiti virus tersebut dari pembantu rumahnya yang meninggal dunia baru-baru ini.

Katanya, pembantu rumahnya dijangkiti virus tersebut selepas bersalaman dengan seorang rakan ketika keluar membuang sampah.

Tambah Shuib, masyarakat perlu menjaga kesihatan dan jangan sesekali sayangkan duit terutama ketika situasi COVID-19 yang sedang mengganas di negara ini ketika ini.

“Saat di dalam ambulan, saya terfikir nak bawa isteri ke hospital swasta, tapi tak berpeluang sebab penuh. Masa tu memang terdetik, duit banyak mana pun tak akan boleh sihatkan isteri saya.

“Jika banyak duit, jagalah kesihatan, amalkan vitamin untuk kuatkan sistem imun kita. Kalau tak ada duit amalkan pemakanan sihat, dan beli oximeter… tolong jangan sayang duit.

“Saya orang yang memang tak jaga kesihatan, saya jarang makan vitamin. Dengan sekarang ada pelbagai jenis COVID-19 termasuk Varian Delta, kalau terkena terkena tak boleh berpatah balik,” katanya.

Menurutnya, jika seseorang telah terkena COVID-19, alat oximeter akan membantu menentukan tahap oksigen dalam badan seseorang yang menjadi penandata keseriusan penyakit itu.

“JIka bacaan tahap oksigen itu di bawah 95, cepat-cepatlah ke hospital, jangan tangguh-tangguh seperti saya yang mana tahap oksigen Siti Sarah pernah turun sampai 93,94,” katanya.

Selain itu, Shuib turut berkongsi detik ketika dia menyampaikan khabar sedih tentang kematian Siti Sarah kepada tiga anaknya sebaik sahaja dia pulang ke rumah selepas pengebumian arwah isterinya.

Kata, Shuib ia menjadi saat paling sukar untuknya sehingga mengambil masa yang agak lama bagi menjelaskan kepada anak-anaknya itu. – UtusanTV