SEBUAH premis di sekitar Pudu yang dipercayai menjadi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi Ops Kutip awal pagi tadi, menyaksikan seramai 186 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Operasi bersepadu yang bermula kira-kira jam 12.05 tengah malam itu dilaksanakan secara besar-besaran dengan membabitkan 137 pegawai dan anggota daripada beberapa agensi penguat kuasa.
JIM WPKL dalam kenyataannya memaklumkan, operasi berkenaan disertai 30 pegawai JIM WPKL, 27 pegawai JIM Selangor dan 15 pegawai Bahagian Penguat Kuasa JIM Putrajaya.
Turut membantu menjayakan operasi itu ialah 30 anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), 30 anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta lima pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Sepanjang operasi dijalankan, pasukan penguat kuasa memeriksa seramai 320 individu daripada pelbagai negara bagi mengenal pasti status dan dokumen perjalanan mereka.

GAMBAR: Akif Irfan
Hasil pemeriksaan mendapati 186 PATI terdiri daripada 149 lelaki dan 37 wanita ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang imigresen.
Daripada jumlah itu, warga Bangladesh mencatatkan tangkapan tertinggi dengan 118 lelaki, diikuti 28 warga Indonesia membabitkan tujuh lelaki dan 21 wanita.
Turut ditahan ialah 26 warga Myanmar terdiri daripada 13 lelaki dan 13 wanita, lima warga Vietnam (tiga lelaki dan dua wanita), empat lelaki warga Nepal, dua lelaki warga India, seorang lelaki warga Pakistan serta dua warga China membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita.
Menurut JIM, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c).
Selain itu, sebahagian daripada mereka turut dipercayai melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama.
JIM berkata, operasi yang dirancang rapi itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan berkenaan bersama agensi penguat kuasa lain dalam membanteras kebanjiran PATI, khususnya di ibu negara, bagi memastikan aspek keselamatan serta kedaulatan negara terus terjamin.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

