KERAJAAN belum sedia membenarkan golongan berusia 18 tahun ke atas yang sudah menerima vaksinasi lengkap, untuk merentas negeri berjumpa ibu bapa mereka buat masa ini kerana risikonya terlalu tinggi.
Menteri Kanan (Luar Negeri), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan itu akan membabitkan jumlah yang ramai dan dikhuatiri ia boleh menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas penilaian risiko jangkitan semasa pada peringkat awal pemberian kemudahan yang diumumkan, semalam.

“Setakat ini, hanya ibu bapa yang lengkap divaksinasi, dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak berusia 18 tahun ke bawah, berkuat kuasa esok,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.
“InsyaAllah, kalau ini dapat dijayakan dan jumlah yang kita tengok daripada keputusan ini tidak menyebabkan jumlah kes COVID-19 meningkat, tidak ada sebab kita tidak dapat untuk masa-masa akan datang memperluaskannya kepada mereka yang bujang.
“Jumlah mereka (individu bujang) kalau kita buka kepada mereka, jumlahnya begitu besar dan risiko yang terpaksa kita pikul terlalu tinggi.
BERITA BERKAITAN Benarkan individu lengkap 2 dos rentas negeri untuk melancong – MATA
“Itu mungkin akan menimbulkan masalah yang lain kalau tidak ada disiplin, tidak patuh SOP, kita tidak mampu memantau dan juga kuat kuasa apa yang telah diumumkan,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19, akan memantau sebarang kegiatan memalsukan sijil vaksinasi digital.
Namun, katanya, jawatankuasa itu tidak akan dapat memantau kesemua kes berkenaan, justeru kementerian dan agensi berkaitan perlu bekerjasama bagi memastikan isu terbabit dapat ditangani secara menyeluruh. – UtusanTV



