Pas sifatkan keputusan kes Indira Gandhi kemenangan pertahan akidah Islam

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

DEWAN Ulamak Pas Pusat (DUPP) menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Indira Gandhi dan 13 individu lain untuk mencabar peruntukan berkaitan pengislaman kanak-kanak bawah umur sebagai satu kemenangan besar dalam mempertahankan kedudukan Islam dan undang-undang syariah di negara ini.

Ketua Penerangan DUPP, Datuk Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, keputusan itu memberi kelegaan kepada umat Islam selain dianggap sebagai kemenangan moral dan perundangan kepada institusi Islam.

Menurut beliau, mahkamah telah membuat pertimbangan yang tepat terhadap isu berkenaan yang mempunyai implikasi besar terhadap kedudukan agama Islam dalam sistem perundangan negara.

“DUPP merafak syukur ke hadrat Allah SWT atas keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan tersebut.

“Keputusan ini merupakan satu kelegaan besar dan kemenangan moral serta perundangan bagi institusi Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dari sudut hukum syarak, isu penentuan agama anak-anak kepada ibu atau bapa yang memeluk Islam telah lama dibahaskan oleh para ulama dan mempunyai sandaran yang jelas dalam kitab-kitab fiqh muktabar.

Katanya, menurut pandangan fuqaha khususnya dalam Mazhab Syafie, anak yang masih belum baligh akan mengikut agama ibu atau bapa yang memeluk Islam.

Mohd Nor berkata, prinsip tersebut selari dengan tuntutan Maqasid Syariah yang meletakkan pemeliharaan agama sebagai keutamaan dalam kehidupan umat Islam.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa usaha mencabar kedudukan undang-undang syariah dan peruntukan berkaitan Islam dijangka akan terus berlaku dan memerlukan kewaspadaan berterusan daripada umat Islam.

“Umat Islam tidak boleh alpa dengan kemenangan hari ini kerana akan sentiasa ada pihak yang cuba merungkai sedikit demi sedikit kedudukan dan keistimewaan syariat Islam,” katanya.

Dalam pada itu, DUPP merakamkan penghargaan kepada barisan peguam yang mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta pihak-pihak yang terlibat dalam mempertahankan peruntukan undang-undang berkenaan di mahkamah.

Menurut beliau, usaha dan komitmen mereka telah menyumbang kepada keputusan yang dianggap penting bagi mempertahankan kepentingan umat Islam.

DUPP turut menggesa kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) supaya terus memperkemas dasar, enakmen dan prosedur berkaitan pengurusan mualaf serta kebajikan anak-anak mereka.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi menutup sebarang kelompongan perundangan dan memperkukuhkan sistem sokongan kepada golongan terbabit.

Pada masa sama, DUPP menyeru umat Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat supaya mengenepikan perbezaan politik serta bersatu mempertahankan isu yang menyentuh kedaulatan Islam dan syariah.

“DUPP akan terus komited menjadi benteng pertahanan akidah umat Islam dan tidak akan berganjak dalam mempertahankan apa juga peruntukan yang memartabatkan agama Islam di negara ini,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli: ‘Jika terbukti salah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM’

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima...

More Articles Like This